31 Oktober 2012

Jauh Di Mata, Dekat Di Hati

Jauh Di Mata, Dekat Di Hati

Maafkan saya kerana sekian lama saya menyepi tanpa mencoret walau sebuah warkah buat tatapan rakan-rakan pembaca. Mungkin kerana dihimpit kesibukan kerja di samping ketandusan idea untuk menulis. Diharapkan dengan penulisan saya pada kali ini sedikit sebanyak dapat menghilangkan kerinduan kalian semua kepada saya.

Cinta bukanlah suatu perasaan yang biasa. Ia hadir tanpa diduga tatkala kita alpa mencari dunia. Meskipun ada kalanya pasangan bercinta ini tinggal berjauhan namun ia bukanlah penghalang untuk cinta mereka terus bersemi. Jarak ternyata bukan penghalang. Apatah lagi pada zaman yang dipenuhi alatan canggih yang bisa saja menghubungkan sesiapa yang ingin berhubungan. 

Adapun lambakan kecanggihan dunia yang boleh kita miliki namun ia tidak dapat menandingi hati yang dicipta Allah SWt. Hati bisa menghubungkan dua insan yang tinggal berjauhan tanpa perlu kita mendail sebarang nombor, tanpa perlu kita menekan apa-apa butang dan tanpa perlu sebarang soket disambung ke mana-mana plug. Ia bisa saja terjadi hanya dengan kemahuan dua insan atas izin Yang Maha Esa.

"Hati yang tidak nampak dek mata kasar hakikatnya merupakan alatan yang paling canggih dalam kita berhubungan"

Maka kemudian terbitlah satu falsafah cinta yang berbunyi, "Jauh di mata, dekat di hati". Pada suatu masa dahulu, hanya surat serta kad ucapan yang menjadi pengganti diri. Walaupun demikian, cinta datuk nenek kita pada waktu dahulu ternyata berkekalan hingga ke akhir hayat. Lalu, kita di zaman yang serba moden ini ternyata bertuah kerana dilengkapi segala kemudahan yang bakal memudahkan kita dalam berhubungan. Meskipun dia jauh di mata namun senantiasa dekat di hati.

"Dengan adanya dia di hati, jarak bukan lagi penghalang. Suaranya sentiasa terngiang, wajahnya pula selalu terbayang"

Kiranya benar itu cinta maka janganlah lagi kita berduka. Jarak bukanlah pemisah yang menjauhkan dua jiwa yang duduk berjauhan. Jarak itu hanya sekadar halangan sementara yang tidak memberi apa-apa kesan kepada dua insan yang benar-benar ikhlas dalam mengharungi perhubungan cinta. Ingatlah selalu bahawa hati yang ikhlas pada cinta sama sekali tidak akan berduka kerana kita mengerti bahawa dia akan sentiasa tersemat di jiwa dan hati kita takkan lagi sepi buat selamanya.

2 ulasan:

Izwa Kamaruddin berkata...

nice!

9n0L4 berkata...

nice one. doa seorg sahabat pasti diperkenan Allah. ;)