15 September 2013

Soalan-soalan serta Kata-kata Mengorat Lelaki

SOALAN-SOALAN SERTA KATA-KATA MENGORAT LELAKI

Apa khabar semua? MHZ harap semuanya sihat-sihat belaka. Agak lama jugak sebenarnya MHZ menyepi kerana sedikit sibuk dengan urusan kerja. Al-maklumlah, zaman belajar dah habis. Sekarang dah masuk zaman bekerja, zaman beli kereta, zaman kumpul duit dan juga zaman kahwin. Banyak jugak zamannya kalau nak dikira dengan jari. Rasanya cukuplah dahulu dengan cerita zaman, kita beralih pula kepada topik yang ingin kita bincangkan pada hari ini yakni soalan-soalan serta kata-kata mengorat lelaki. Topik yang sememangnya hangat ini sebenarnya dah lama MHZ nak coretkan cumanya tidak cukup masa serta tidak punya kesempatan. Memandangkan malam ini tampak sunyi lagi sepi maka MHZ mengambil keputusan untuk mencoretkan sesuatu buat rakan-rakan pembaca sekalian.

Berkenaan dengan topik kali ini, MHZ yakin rakan-rakan pembaca terutamanya dalam kalangan wanita pasti teruja serta ternanti-nanti apakah sebenarnya yang ingin MHZ kupaskan pada kali ini. Secara ringkasnya, ingin MHZ terangkan serta jelaskan pada kali ini akan serba sedikit teknik-teknik soalan serta kata-kata yang sering digunakan lelaki untuk memikat hati wanita. 

Makanya, rakan-rakan pembaca sekalian bolehlah selepas ini menilai akan niat sebenar seseorang lelaki yang berusaha untuk mendekati anda. Apakah sebagai kawan atau lebih? Untuk kita ketahui lebih lanjut, jom kita sama-sama kupaskan.


Definisi Mengorat
Mengorat bermaksud suatu tindakan yang berupa perbuatan mahupun kata-kata yang cenderung ke arah mengajak seseorang wanita bagi menerima seseorang lelaki sebagai kekasih. Dalam erti kata yang lain, mengorat hanya akan diperlakukan oleh seseorang lelaki yang menginginkan seseorang wanita itu menjadi kekasihnya. Lelaki yang berstatus kawan pasti sahaja tidak akan melakukan kerja-kerja seumpama ini.

Mengapa wanita perlu tahu sama ada seseorang lelaki itu mahu mengoratnya atau tidak?
Menjadi suatu perkara yang penting buat seseorang wanita bagi mengetahui sejauh mana perasaan seseorang lelaki itu kepadanya, Hal ini kerana seseorang wanita harus bertindak segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jika seseorang wanita dapat mengesan bahawa lelaki itu mahukannya dan dia juga turut menerima maka tidak mengapa tetapi sekiranya seseorang lelaki itu mahu memikatnya dan wanita itu tidak menyedari maka dikhuatiri secara tidak sengaja wanita berkenaan telah pun memberi suatu harapan palsu kepada lelaki berkenaan. Ringkasnya, wanita seharusnya tahu akan perkara ini supaya langkah yang sebaiknya boleh diambil secepat yang mungkin.

Soalan-soalan popular yang sering dikemukakan lelaki tatkala ingin mengorat
1.  Awak ni cantiklah/Awak ni comel sangat/Awak ni baik orangnya. Boleh saya kenal awak?
Maksud: Seseorang lelaki itu mahu mengajak wanita berkenaan untuk mengenal lebih jauh. Dalam erti kata yang lain, sedikit berbeza daripada seorang kawan. Mungkin tidak sampai ke tahap mengajak untuk bercinta lagi namun ia sebagai suatu permulaan.

2. BF awak tak marah ke saya contact awak?
Maksud: Soalan ini hakikatnya berlainan daripada apa yang diperkatakan. Soalan ini diajukan oleh seseorang lelaki bagi mengetahui akan status sebenar seseorang wanita yang baru dikenalinya. Jika wanita itu sudah berpunya, maka jawapannya boleh jadi BF saya tak marah atau BF saya bagi tapi cuma kawan biasa bolehlah. Sekiranya wanita itu masih single maka jawapannya boleh jadi awak janganlah risau. Takda siapa pun nak marah awak. Saya takda BF pun. 

3. Awak tak kisah ke saya contact or rapat dengan awak?
Maksud: Soalan ini sebenarnya bermaksud apakah awak selesa bersama dengan saya. Maka seseorang lelaki mengharapkan wanita berkenaan menjawab tidak kisah atau ok je. Sekiranya respon wanita itu baik maka kemudiannya lelaki berkenaan akan meneruskan dengan langkah yang seterusnya.

4. Awak, nak mintak nombor phone boleh?
Maksud: Ini memang terang lagi bersuluh. Kalau tak jelaskan pun ramai yang faham. Mana-mana lelaki yang hendak memikat wanita pastinya menginginkan nombor telefon wanita berkenaan kerana nombor telefon merupakan akses yang paling hebat. Dengan nombor telefon, lelaki berkenaan dapat menghantar SMS malah menelefon dan akibatnya, perhubungan akan menjadi lebih akrab.

5. Awak marah saya ke?
Maksud: Lelaki berkenaan hakikatnya mempunyai suatu perasaan yang berbeza daripada seorang kawan kerana dia begitu sensitif akan perasan wanita berkenaan. Sekiranya wanita itu hanya dianggap kawan maka jarang-jarang sekali soalan begini akan dikemukakan. Lelaki berkenaan barangkali risau kerana tidak dilayan dan dia mengajukan soalan ini bagi melihat apakah wanita berkenaan memarahinya atau sebaliknya. 


Kata-Kata Mengorat Lelaki
1. Awak ni baik sangat. Bertuah siapa yang dapat awak.
Maksud: Awak ni baik sangat. Alangkah bertuahnya kalau saya dapat awak.

2. Saya tak tahulah awak. Jodoh pertemuan di tangan Allah tapi manalah tahu awak jodoh saya.
Maksud: Kata-kata ini bersifat umpanan. Sekiranya wanita berkenaan menjawab betul jugak. Boleh jadi awak jodoh saya maka umpanan lelaki berkenaan sudah mengena namun jika yang sebaliknya dijawab oleh wanita itu maka si lelaki bolehlah membawa beg dan berlalu pergi.

3. Saya tak mencari kekasih. Saya mencari isteri.
Maksud: Lelaki berkenaan secara tidak langsung atau tersirat ingin mengatakan kepada seseorang wanita bahawa dia mengorak langkah perkenalan untuk wanita berkenaan dijadikan isteri dan bukannya untuk tujuan dipermain-mainkan akan wanita itu.

4. Saya tahu saya tak sempurna. 
Maksud: Seseorang lelaki mempunyai ego yang sangat tinggi. Apabila dia mengakui bahawa dia tidak sempurna, itu bermaksud dia benar-benar ingin memiliki seseorang wanita. Ayat ini juga bertujuan meraih simpati wanita berkenaan bagi menerima dirinya.

5. Saya putus cinta. Saya tak tahu lagi pada siapa saya nak luahkan. Saya ada awak saja.
Maksud: Lelaki kebanyakannya mengambil kesempatan bagi mengenali wanita dengan menyelitkan unsur-unsur simpati. Wanita rata-rata sememangnya sangat sensitif dengan perasaan orang lain dan mereka sangat mudah bersimpati. Maka kelemahan wanita ini digunakan sebaiknya oleh lelaki bagi merapatkan lagi jurang perhubungannya dengan wanita berkenaan. Bukan kisah cintanya yang gagal itu yang mahu dikongsi, yang lebih dia mahukan ialah masa bersama wanita yang dia minati.

Setakat itu sahaja perkongsian MHZ untuk kali ini. Renung-renungkan. Amati dan jadikan pedoman. 

Tiada ulasan: