11 April 2016

Wang Hantaran Kahwin Tinggi: Punca Serta Penyelesaian

WANG HANTARAN KAHWIN TINGGI: PUNCA SERTA PENYELESAIAN

Umum mengetahui bahawa hantaran kahwin bukanlah sebahagian daripada tuntutan Islam. Yang dituntut oleh Islam hanyalah mas kahwin yang mana hampir setiap negeri di Malaysia telah menetapkan had minimum untuk mas kahwin. Sebagai contoh, had minimum mas kahwin untuk negeri Selangor ialah RM 300.00 dan di negeri Melaka ialah RM 40.00. 

Isu berkenaan hantaran kahwin ini bukanlah perkara baru. Sejak zaman datuk nenek moyang kita lagi isu berkaitan hantaran kahwin ini telah timbul dan polemik berkaitannya tidak pernah berhenti sehinggalah ke hari ini. Pelbagai masalah serta konflik yang timbul hanya kerana isu hantaran kahwin. Apakah puncanya dan bagaimana untuk kita menyelesaikannya?


Bagi tujuan perbincangan, ingin saya kecilkan skop perbincangan kepada hantaran kahwin yang melibatkan wang sahaja. Hantaran yang melibatkan barangan seperti beg tangan, jam tangan, kasut atau yang sewaktu dengannya tidak akan saya sentuh dalam artikel ini. Hal ini bagi memberikan fokus kepada isu berkaitan wang hantaran kahwin yang selalunya melibatkan jumlah yang tinggi.

PUNCA WANG HANTARAN KAHWIN TINGGI

Sebelum kita membincangkan perihal penyelesaian, eloklah untuk kita mengetahui terlebih dahulu akan punca-punca yang menyebabkan wang hantaran kahwin menjadi tinggi.


1. Bersaing dan/atau Bermegah dengan Saudara-Mara / Sahabat / Jiran Tetangga
Ibu bapa yang tidak mahu kalah pasti akan sentiasa bersaing dengan saudara-mara, sahabat atau jiran tetangga. Sekiranya saudara-mara meletakkan hantaran kahwin untuk anak perempuan mereka sebanyak RM12,000.00 misalnya maka pasti sahaja mereka akan meletakkan hantaran yang lebih tinggi untuk anak perempuan mereka. Contohnya RM 15,000.00. Ia bagi tujuan menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah kepada orang lain bahawa hantaran anak mereka nilainya tinggi dan hantaran anak saudara-mara / sahabat / jiran dianggap murah atau rendah.

2. Hantaran Adik Perempuan hendaklah lebih Mahal / Tinggi daripada Kakaknya  
Terdapat juga segelintir ibu bapa yang meletakkan wang hantaran si kakak sebagai penanda aras bagi meletakkan nilai wang hantaran anak perempuan mereka yang lain. Katakanlah wang hantaran si kakak sudah mencecah RM 13,000.00 maka wang hantaran si adik hendaklah melebihi daripada nilai hantaran si kakak. Misalnya, RM 15,000.00.

3. Hendak dijadikan Kos atau Modal Kenduri Kahwin
Harga barang sekarang dah mahal. Lembu, kerbau, ayam semua naik harga. Itu tak campur GST lagi. Kalau diambil kira semua sekali, RM 20,000.00 pun kata sesetengah ibu bapa pihak perempuan sudah boleh dianggap biasa. Kalau kenduri yang hendak dibuat itu menggunakan wang hantaran kahwin si anak maka logik sekali RM 20,000.00 pun tidak cukup. Apatah lagi jika majlis yang hendak dibuat menelan belanja yang besar. Mana tidaknya, pelaminnya saja sudah mencecah ribuan ringgit. Itu belum dicampur dengan goodies & bunga telur. Kasihan bakal pengantin lelaki. Sudahlah baru bekerja. Hendak ditampung pula kenduri kahwin sebelah isteri. Lebih kasihan kepada pengantin perempuan sekiranya kesemua wang hantaran digunakan untuk perkahwinan dan tiada langsung peluang untuk membeli barang kemas atau perhiasan.

4. Hendak dibeli Barang Kemas atau Perhiasan untuk Anak Perempuan 
Terdapat sesetengah ibu bapa yang mahu membelikan barang kemas atau perhiasan untuk anak perempuan mereka namun tidak mampu untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian, wang hantaran kahwin diletakkan nilai yang tinggi bagi menampung pembelian barang kemas atau perhiasan tersebut dan sebahagian lagi akan digunakan untuk perbelanjaan kenduri kahwin. Terdapat juga ibu bapa yang mampu mengadakan kenduri dengan wang mereka sendiri dan anak perempuan mereka dinasihatkan untuk membeli barangan kemas dan perhiasan sebagai satu bentuk pelaburan.

5. Bakal Menantu Kerja Profesional / Berjawatan Besar / Bergaji Besar / Anak Orang Berada
Pantang bakal menantu kerja profesional / berjawatan besar / bergaji besar / anak orang berada maka hantaran yang hendak diletakkan pasti sahaja melambung tinggi. Jika bakal menantu bekerja sebagai Doktor, Jurutera, Arkitek, Peguam atau mana-mana profesion yang ada kelas maka akan tinggilah hantarannya. Dalam isu ini, ibu bapa pihak perempuan hendaklah sedar bahawa meskipun bakal menantu tergolong dalam golongan profesional, itu tidak bermakna dia sudah kaya atau berduit. Hal ini kerana mereka baru sahaja bekerja dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti mana yang difikirkan oleh sesetengah pihak.


6. Anak Perempuan Berkelulusan Tinggi
Ada juga sesetengah ibu bapa yang meletakkan hantaran kahwin yang tinggi atas dasar anak mereka berkelulusan tinggi sama ada lepasan universiti atau pemegang Master/ PhD. Katanya sudah banyak wang yang telah dibelanjakan untuk anak mereka sehingga berjaya maka nilai hantaran kahwin perlulah setimpal. Tapi bagaimana pula dengan yang SPM pun tak pass, hantaran lebih kurang sama dengan yang keluar universiti?


PENYELESAIAN

Punca utama kepada permasalahan telahpun kita ketahui. Kini tiba masanya untuk kita kupaskan tentang penyelesaian yang boleh membantu dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan isu wang hantaran kahwin.

1. Bakal Pengantin Perempuan Perlu Berbincang Lebih Awal Dengan Ibu Bapa
Bakal Pengantin Perempuan jangan sesekali meletakkan isu wang hantaran kahwin sebagai isu yang tidak penting. Bincangkan berkaitan wang hantaran kahwin seawal yang mungkin. Berikan kesedaran kepada ibu bapa tentang kebaikan meletakkan nilai wang hantaran kahwin yang munasabah. Antara kebaikan yang boleh dikongsikan ialah hidup sesudah kahwin tidak akan terbeban dengan hutang piutang, pembaziran dapat dielakkan dan lain-lain lagi.

2. Bincang dengan Bakal Pasangan (Bakal Pengantin Lelaki)
Isu hantaran kahwin semestinya isu yang sangat sensitif untuk dibincangkan. Sebelum pertunangan misalnya, bincanglah terlebih dahulu dengan bakal pasangan tentang setakat mana kemampuannya untuk melunaskan wang hantaran kahwin. Jika sekiranya bakal pasangan mengaku bahawa dia mampu setakat RM 10,000.00 sahaja misalnya maka kemudiannya bakal pengantin perempuan boleh membincangkan perkara itu dengan ibu bapanya pula.

3. Elakkan Berbincang Soal Hantaran ketika Upacara Pertunangan
Pesanan saya, jangan sesekali membincangkan soal hantaran ketika upacara pertunangan. Hal ini kerana pada waktu tersebut ramai orang yang akan mendengar serta memerhati di samping bagi mengelakkan aib kepada kedua-dua belah keluarga. Sememangnya ada kes yang mana pihak lelaki meminta supaya wang hantaran dikurangkan dan pihak perempuan tidak berganjak dengan keputusan mereka. Kejadian seumpama ini boleh menyebabkan malu kepada kedua-dua belah keluarga. Terdapat juga insiden di mana pihak lelaki tidak bersetuju dengan nilai wang hantaran yang diletakkan oleh pihak perempuan dan upacara pertunangan terpaksa dibatalkan. Ketika upacara pertunangan, memaklumkan nilai hantaran kahwin kepada pihak lelaki hanya perlu dibuat secara formaliti sahaja. Ini bermakna nilai hantaran kahwin berkenaan telahpun diketahui serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum upacara pertunangan lagi.

4. Adakan Kenduri Kahwin Sekadar Yang Mampu
Khas untuk bakal pengantin perempuan, adakan kenduri mengikut kemampuan. Ukur baju di badan sendiri. Jangan kerana hendak mengadakan majlis yang besar-besaran maka beban kemudiannya diletakkan di bahu bakal suami dengan meletakkan nilai hantaran yang tinggi. Ingatlah, perkahwinan tidak berakhir di majlis walimatul urus. Itu hanya permulaan kepada sebuah rumahtangga yang masih jauh perjalanannya. Jika suamimu susah di kemudian hari maka kamu juga akan turut susah.


KESIMPULAN

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW maka permudahkanlah ia. Jangan kerana hendakkan hantaran tinggi, majlis perkahwinan ditangguh-tangguhkan. Tempoh pertunangan pula dipanjang-panjangkan. Sekiranya sudah sampai masanya maka satukanlah mereka. Jangan buang masa. Dahulukan yang wajib. Kalau tidak, siapa yang hendak tanggung dosa-dosa itu semua? Renung-renungkan. Selamat beramal.

Tiada ulasan: