24 Ogos 2013

Jodoh: Suratan Atau Kebetulan

JODOH: SURATAN ATAU KEBETULAN

Bila berbicara soal jodoh maka ramai yang akan mengeluarkan teori serta persepsi masing-masing. Tidak kurang juga yang seakan-akan menunjukkan rasa kurang berminat kerana barangkali masih belum dipertemukan dengan jodoh yang dicari-cari. Emang benar. Jodoh bukan perkara mainan. Tidak semudah mencari barang. Tidak sesenang memilih hiasan. Jodoh memerlukan masa lagi kesabaran kerana tidak semua orang bakal dipertemukan dengan jodoh semudah yang disangka. Adakalanya terpaksa menanti bertahun-tahun lamanya namun percayalah bahawa setiap daripada kita punya jodoh yang ditetapkan Allah namun masanya masih belum tiba. 

"Sememangnya telah ditetapkan jodoh akan setiap daripada kita akan cumanya Allah hanya bakal mempertemukan kita dengannya sebaik sahaja kita telah bersedia"

Saya akur bahawa setiap daripada kita punya pandangan yang tersendiri pabila berbicara soal jodoh namun apa yang ingin saya bangkitkan pada kali ini adalah lebih berkisarkan kepada teori jodoh yang dipelopori oleh saya sendiri. Maka terlebih dahulu ingin saya memohon maaf sekiranya pandangan saya ini bakal bertentangan dengan pandangan para pembaca sekalian. Sejujurnya, niat saya hanyalah lebih kepada ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian.


Apakah Jodoh itu perlu dicari?
Pada pandangan peribadi saya, jodoh juga seperti rezeki. Ia memerlukan usaha agar dipermudahkan kita untuk bertemu dengannya. Walaupun ada yang berpandangan bahawa jodoh tidak perlu dicari lagi tidak memerlukan usaha namun bagi saya, setiap apa yang kita kerjakan di atas muka bumi ini memerlukan usaha kerana ia bakal memudahkan lagi matlamat yang ingin kita capai. Walaupun begitu, saya percaya bahawa jodoh ini sudah punya ketetapan. Bagi yang bernasib baik, barangkali mudah untuknya ketemu jodoh. Bagi yang kurang bertuah, ada-ada saja halangan yang harus ditempuhi sehinggakan semangat untuk mencari jodoh yang didamba-dambakan seakan terpadam. 

"Jodoh juga memerlukan usaha dan usaha itu berbentuk pelbagai. Menampilkan akhlak yang baik juga usaha, melakukan pekerjaan bersungguh-sungguh juga usaha, menyiapkan diri sebagai suri rumah tangga juga usaha serta bermacam-macam lagi. Jangan kita sempitkan akan takrifan mencari jodoh hanya semata-mata dengan perbuatan mencari tanpa henti akan tetapi membentuk keperibadian kita ke arah yang lebih baik juga termasuk dalam takrifan mencari kerana yang terpandang pasti bakal tertambat hati."


Apakah Jodoh itu suratan atau kebetulan?
Jodoh seperti yang banyak diperkatakan oleh kebanyakan pendakwah sememangnya telah ada buat kita namun masa yang bakal menentukan untuk kita dipertemukan dengan jodoh kita. Mungkin kita terjumpa dengan jodoh kita secara kebetulan. Kebetulan kita menaiki bas yang sama lantas jatuh hati dan berkenalan lalu menikah. Maka itu jodoh. Kebetulan hakikatnya bermaksud sesuatu yang tidak dirancang namun ia tetap berhasil. Bagi terma suratan pula, adalah sudah menjadi suratan atau takdir untuk kita dan jodoh kita dipertemukan. Barangkali kita merancang yang lain namun akibat suratan, kita bertemu dengannya dan kemudian kita sedari bahawa kegagalan yang sebelumnya membawa kepada rahmat serta kebahagiaan setelah kita bertemu dengannya. Secara kesimpulan, sama ada ia berlaku secara suratan mahupun kebetulan, jodoh tetap jodoh. Tiada siapa yang dapat mengubahnya.


Bagaimana ingin kita kenal bahawa dia jodoh kita?
Agak sukar untuk menjawab akan persoalan ini kerana jawapannya adalah terlalu luas dan sangat sukar untuk dihuraikan secara ringkas namun saya akan cuba menghuraikan secara pendek akan jawapannya bagi persepsi peribadi saya. Pernah dengar akan ungkapan "Chemistry"? Jika benar dia untuk kamu maka kamu berdua akan punya chemistry. Dunia seakan sempurna sekiranya kamu dan dia bersama. Dia faham akan kamu dan kamu faham akan dia. Meskipun adakalanya perkara itu masih belum terungkap namun dia sudah mengerti akan kemahuanmu dan begitu juga kamu. Hati kalian seakan bisa membaca akan hati satu sama lain. Seolah-olah kamu memang ditakdirkan hidup bersama. Lagi pula, kalian tidak akan pernah mengungkit akan kesilapan lalu lantas menerima dirinya seadanya kerana apa yang lebih penting ialah apa yang dibina bukan apa yang telah berlalu menjadi debu. 

Bilakah masanya jodoh kita akan tiba?
Tiada had masa yang ditetapkan untuk jodoh kamu tiba. Setelah sampai masanya dia akan datang. Tidak boleh dipinta. Tidak boleh dipaksa. Sampai saatnya, kalian bakal ketemu dengannya.

TIPS: Sekiranya kamu inginkan kepastian serta ketepatan dalam melakukan pilihan maka lakukanlah Solat Sunat Istikharah bagi memperoleh petunjuk dari-Nya. Moga-moga kamu beroleh dengan jawapan yang terbaik buat kamu.

"Jodoh: The right person who arrives at the right time and doing the right thing."

"Even if she is from Malacca and you're from Kedah, if you two are meant to be together, nothing will stop you from being together."  

Tiada ulasan: