22 Julai 2012

Undang-Undang Penculikan Di Malaysia

Undang-Undang Penculikan Di Malaysia
(Kidnapping Law in Malaysia)

Jenayah culik bukan lagi sesuatu yang baru dalam negara kita. Jenayah seumpama ini sememangnya menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa utama mereka. Motif penculikan selalunya berbeza kerana lain penculik, lain motifnya. Dalam jenayah penculikan, wujud sebahagian penculik yang menculik mangsa dan kemudiannya meminta wang sebagai tebusan. Selalunya penculik akan mengambil inisiatif untuk meminta wang tebusan sekiranya ibu bapa mangsa tergolong dalam golongan bangsawan (kaya). Sekiranya penculikan itu dilakukan secara rambang tanpa mengira latar belakang ibu bapa mangsa, barangkali mangsa akan dijual kepada mana-mana sindiket yang memerlukan kanak-kanak untuk dijadikan alat dalam menjalankan kegiatan haram mereka.


Dalam jenayah penculikan di Malaysia, ia terbahagi kepada dua jenis: 
(a) Seksyen 360 Kanun Keseksaan:
Penculikan mangsa sehingga keluar daripada sempadan Malaysia
(b) Seksyen 361 Kanun Keseksaan:
Penculikan mangsa sehingga memisahkan mangsa daripada ibu bapanya atau penjaganya yang sah

Mengikut Seksyen 360 Kanun Keseksaan:
(Penculikan mangsa sehingga keluar daripada sempadan Malaysia)
Sesiapa yang melarikan atau membawa keluar mana-mana individu melebihi daripada sempadan Malaysia tanpa restu/keizinan orang itu, atau mana-mana individu lain yang merupakan penjaganya yang sah memberikan keizinan bagi pihak orang itu maka perlakuan itu telah dianggap sebagai perbuatan menculik keluar daripada Malaysia. 

Berpandukan Seksyen 361 Kanun Keseksaan:
(Penculikan mangsa sehingga memisahkan mangsa daripada ibu bapanya/penjaganya yang sah)
Sesiapa yang mengambil/mengumpan/menarik keluar mana-mana kanak-kanak di bawah umur 14 tahun sekiranya lelaki, atau 16 tahun sekiranya perempuan, atau mana-mana orang yang gila/tidak siuman, berpisah/jauh daripada penjagaan penjaganya yang sah maka perlakuan itu dianggap sebagai perbuatan menculik daripada penjaga yang sah.

*Maksud penjaga yang sah mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan ialah mana-mana individu yang diberikan hak penjagaan ke atas kanak-kanak atau mana-mana individu lain. 

Hukuman bagi Jenayah Culik:
Mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,
Sesiapa yang menculik mana-mana individu keluar daripada Malaysia atau memisahkannya daripada penjaganya yang sah, maka dia boleh dihukum dengan hukuman penjara yang boleh menjangkau sehingga tempoh 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda. 

Dengan jenayah culik yang kerap kali berlaku kebelakangan ini, hukuman berat bagi jenayah culik sahaja tidak akan mampu untuk menakut-nakutkan mereka yang bernafsu binatang ini. Apa yang lebih penting buat masa sekarang ialah ibu bapa atau penjaga harus sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan tidak akan ada kejadian yang tidak diingini seperti jenayah culik berlaku ke atas anak mereka. 

Antara Langkah-Langkah Pencegahan Jenayah Culik:
1. Ibu bapa/penjaga tidak harus membiarkan anak mereka bermain di luar rumah/kediaman tanpa pemerhatian/penjagaan.
2. Ibu bapa/penjaga perlu tiba lebih awal bagi menjemput anak mereka di nurseri/tadika/sekolah.
3. Ibu bapa/penjaga tidak harus membiarkan anak mereka berkeliaran di luar rumah pada waktu malam.
4. Ibu bapa/penjaga harus sentiasa mengingatkan kepada anak mereka supaya tidak bercakap atau berada dekat dengan orang yang tidak dikenali. 
5. Anak-anak harus diingatkan supaya sentiasa menjauhkan diri daripada kawasan sunyi.

"Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati"

3 ulasan :

Waalid5035 ™ berkata...

terima kasih atas perkongsian..dapat pengetahuan baru..^_^


Jom Baca dan komen N3 Terkini Waalid : Mengejar Rahmat Tuhan

Pecinta pink^^ berkata...

semoga dengan ada nya akta ini jenayan penculikan dpt di kurangkan..

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

Insya-Allah..Terima kasih semua