25 Julai 2012

Cinta Terhalang

Cinta Terhalang

Cinta itu hadir tanpa diduga. Kadang-kadang kita sendiri tak sedar yang kita sedang dilamun cinta. Akan tetapi, akan sampai saat dan ketikanya, cinta yang telah bersemi sekian lama hendak kita tamatkan dengan ikatan yang sah yakni ikatan perkahwinan. Namun, masalah yang besar akan timbul sekiranya ibu bapa kita muncul sebagai penghalang di saat-saat akhir. Impian yang telah dirancang sekian lama akhirnya terpaksa dilupakan ekoran hubungan cinta yang tidak direstui oleh kedua ibu bapa. Cinta yang wujud tanpa restu kedua orang tua pastinya mengalami pelbagai dugaan serta halangan. Rata-rata hubungan percintaan yang seperti ini tidak akan mampu untuk bertahan lama. Cinta itu suci namun kedudukan ibu bapa itu ternyata mulia. Sekiranya anda berada dalam situasi seumpama ini, yang mana satu bakal menjadi pilihan anda? Cinta atau ibu bapa?


Kadang-kadang kita terfikir, apakah faktor yang menyebabkan cinta hati kita ditolak oleh ibu bapa? Tidakkah sepatutnya anak-anak diberikan kebebasan bagi memilih pasangan hidup mereka? Zalimkah ibu bapa kerana bertindak sedemikian rupa? Apa yang pasti, ibu bapa kita pasti punya alasan mereka yang tersendiri di sebalik tindakan yang mereka ambil. Namun persoalannya ialah, faktor apakah yang menyumbang ke arah tindakan mereka itu? Apakah semata-mata kerana kerjaya? Paras rupa? Harta? Atau barangkali akhlak yang ditampilkan? Pelbagai persoalan yang timbul dan kebanyakannya masih belum terjawab. 


Faktor-Faktor Utama Tindakan Ibu Bapa Menghalang Perhubungan Cinta Anak Mereka

1. Faktor Kerjaya
Kebanyakan ibu bapa menolak pilihan anak mereka atas faktor kerjaya. Barangkali kerjaya pasangan pilihan anak mereka itu tidak menepati ciri-ciri menantu yang mereka kehendaki. Majoriti ibu bapa pastinya mahukan calon menantu yang mampu menjamin kewangan yang stabil untuk anak mereka. Kiranya ibu bapa melihat bahawa pasangan pilihan anak mereka tidak mempunyai kerjaya yang boleh menjamin masa depan maka selalunya cinta mereka tidak akan direstui sama sekali. 

2. Faktor Usia
Faktor usia turut memainkan peranan yang penting dalam menentukan penerimaan ibu bapa terhadap pasangan pilihan anak mereka. Sekiranya usia pasangan pilihan anak mereka terlalu tua, besar kemungkinan ibu bapa tidak akan bersetuju dengan hubungan percintaan itu. Akan tetapi, sekiranya usia calon menantu mereka itu lebih muda daripada anak mereka, selalunya ia tidak akan mendapat sebarang tentangan atau halangan.  

3. Faktor Akhlak
Ibu bapa ternyata amat sensitif berkenaan dengan akhlak calon menantu mereka. Mereka amat mementingkan faktor akhlak kerana insan yang berakhlak baik sahaja yang akan mampu membawa bahtera rumah tangga ke arah kebahagiaan. Masakan bisa untuk sesebuah keluarga itu bahagia sekiranya salah seorang daripada pasangan ternyata berakhlak buruk.

4. Faktor Budaya Serta Cara Hidup
Budaya serta cara hidup merupakan elemen yang penting dalam memastikan ibu bapa merestui sesuatu perhubungan cinta. Budaya serta cara hidup yang berbeza selalunya membuatkan ibu bapa terpaksa berfikir berkali-kali sebelum membenarkan anak mereka mengikat tali pernikahan dengan pasangan pilihannya itu. 

Setakat itu sahaja perkongsian kita buat kali ini. Apa yang pasti, ibu bapa ternyata mempunyai alasan mereka yang tersendiri dalam melakukan apa jua tindakan yang difikirkan terbaik buat kita. Kita sebagai anak harus sentiasa mengingatkan diri kita bahawa setiap tindakan ibu bapa kita adalah demi kebahagiaan diri kita.

"Fikir-fikirkan, Selamat Beramal"

Tiada ulasan: