11 Februari 2011

Jodoh: Lakukan Pilihan Yang Tepat

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Bersama dengan saya, MHZ dalam Saluran Dakwah Cool fm. Kali ini saya tampil dalam saluran dakwah demi membawakan satu isu yakni jodoh. Isu jodoh merupakan isu yang tampak biasa namun kesannya ke atas kehidupan kita sebagai hamba Allah SWt amatlah besar sekali.



'Jodoh Pertemuan Itu Di Tangan Allah SWt'
Seringkali kita mendengar kata-kata ini diungkapkan oleh lambakan manusia. Mereka merasakan sudah cukup dengan hanya meletakkan kepercayaan kepada Allah SWt semata-mata dalam menentukan jodoh mereka. Hakikatnya mereka sendiri kurang mengerti dengan makna kata-kata di atas. Sebaliknya apa yang harus diingat dan disemat di hati ialah segalanya bukan hanya terletak pada penantian masa dan kepercayaan kepada Allah semata-mata. Kepercayaan kepada Allah SWt itu sebenarnya merangkumi beberapa perkara dan bukannya dengan mengira detik dan waktu. Duduk termenung di jendela sambil mengharapkan Allah menentukan jodoh kita itu bukan caranya. 


3 Perkara Yang Dicadangkan Harus Dilakukan Dalam Menyatakan Percaya Bahawa Jodoh Itu Ketentuan Allah

1. Berdoa kepada Allah
Memohon kepada Allah agar ditetapkan hati kita dengan berdoa dan melakukan Solat Sunat Istikharah supaya dikurniakan petunjuk.

2. Berusaha Dalam Memperoleh Jodoh
Duduk termenung tanpa melakukan apa2 bukanlah caranya. Kita dituntut oleh Islam supaya berusaha dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Ingatlah bahawa, Allah SWt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu yang mengubahnya sendiri.

 3. Tawakkal Kepada Allah
Tawakkal ini dalam erti kata lain kita berserah kepada Allah. Berserah ini bukan bermaksud dengan mendiamkan diri dan menunggu akan masa sahaja yang menentukan tetapi tawakkal ini bermakna harapan terakhir kita dengan memohon pertolongan Allah setelah kita berusaha gigih dalam mendapatkan jodoh yang kita inginkan.
 
Ingatlah bahawa jodoh itu terletak pada pilihan kita sendiri. Jangan suatu hari nanti kita hendak menyalahkan orang lain yang dikatakan memaksa kita memilih seseorang yang kita tidak ingini. Pilihlah mereka yang dirasakan sesuai dengan kita dan dapat membawa kita ke jalan yang diredhai oleh Allah SWt. 

 Pentingnya Jodoh Yang Baik
1. Pesan Rasulullah kepada para lelaki supaya mencari isteri yang punya didikan agama dan sentiasa meletakkan Islam sebagai keutamaan.
2. Para wanita pula haruslah bijak dalam memilih bakal suami yang cintakan agama dan mampu membimbing mereka ke jalan Allah. Nescaya hidup mereka akan bahagia dan anak-anak akan terdidik dengan cara Islam.



Kesilapan2 Dalam Memilih Jodoh
 1. Mengharapkan pasangan berubah setelah berkahwin
Harus diingat bahawa manusia tidak mudah untuk berubah. Mereka mungkin menyatakan mereka akan berubah tetapi itu sekadar janji yang belum pasti akan ditepati. Kalau benar dia ingin berubah, mengapa dia tidak berubah sekarang dan mengapa dia mengharapkan kita yang membimbingnya kelak? Apakah dia berubah kerana kita atau kerana Allah SWt? Berubah kerana manusia, manusia akan mati. Berubah kerana Allah, Allah itu kekal abadi.

2. Takut Melukakan Hati 
Hati sudah bergelora namun tidak mahu menyatakan yang benar. Kalau dah tak mampu bersama, jangan teruskan lagi perhubungan sebegitu. Kita bukan nak hidup bersamanya sehari dua tetapi sehingga ke akhir hayat. Jangan kita menyesal di kemudian hari. Nyatakan Yang Benar di hati. Ibu Bapa bukannya kejam yang mahukan anaknya merana. Sekiranya putus itu yang terbaik maka sudah tentu yang lain juga menerima keputusan itu kerana jodoh ini bukan perkara mainan.

 3. Tidak Pasti Akan Hati
Cuba kita fikirkan sejenak, apa yang terbaik buat kita. Mahu berjaya di dunia dengan ilmu, mahu berjaya di akhirat juga dengan ilmu. Pilihlah yang terbaik. Pilihlah mereka yang bukan sahaja akan membawa kejayaan dunia kepada kita bahkan juga kejayaan di akhirat. Hati kita tidak akan menipu. Hati yang bergolak itu berlaku kerana mungkin keputusan yang kita ambil itu tidak terlalu tepat. Maka cuba amati apa yang menyebabkan hati kita bergolak. Lakukan perubahan sekiranya itu yang terbaik.

'Yang Baik itu Datang Daripada Allah SWt dan Yang Buruk itu Berpunca Daripada Kelemahan Saya Sendiri'

1 ulasan:

Unknown berkata...

yup...jdoh itu ditanganNya, tiap org diberikan pasangan