16 Julai 2012

Adil Fahaman Sekular Tak Sama Dengan Adil Dalam Islam

"Adil Fahaman Sekular Tak Sama Dengan Adil Dalam Islam"

Konsep adil merupakan konsep yang terpenting dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim. Islam sendiri menganjurkan kita supaya bersikap adil dalam apa jua perkara. Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan berbuat adil kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita, tidak mengira bangsa, agama, atau warna kulit. Hanya dengan berlaku adil kepada semua, barulah kemudiannya agama Islam akan dihormati kerana umat Islam sendiri mempamerkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam. 

Namun, apa yang membimbangkan pada hari ini ialah umat Islam itu sendiri tidak faham akan konsep adil dalam Islam. Hal ini berlaku kerana umat Islam lebih didedahkan kepada fahaman sekular berbanding dengan ajaran Islam itu sendiri. Maka kemudiannya, terhasillah satu golongan baru yang mengasingkan dunia dan akhirat. Mereka inilah yang kita namakan sebagai golongan sekular. Golongan yang lebih cenderung memilih idea-idea manusia daripada mengangkat hukum-hukum Allah SWt. 


Adil Fahaman Sekular
Dalam fahaman sekular, apabila kita membahagikan sesuatu benda secara sama rata maka itu bermakna kita telah pun berlaku adil. Apabila yang kaya diberi RM100 dan yang miskin juga diberi RM100 maka itulah adil bagi orang-orang sekular. Mengikut fahaman sekular juga, pembahagian harta pusaka secara sama rata merupakan sesuatu yang dianggap adil. Persoalan yang timbul di sini ialah, apakah semudah itu konsep adil? Sudah semestinya tidak. Bagi golongan sekular, perbuatan membahagikan sesuatu benda atau layanan secara sama rata merupakan suatu konsep keadilan yang perlu dipertahankan walhal konsep itu ternyata salah. 


Adil Dalam Islam
Dalam Islam, adil bukan sahaja terletak kepada pemberian atau pembahagian secara sama rata. Adil dalam Islam bermaksud pemberian atau pembahagian itu adalah bertepatan dengan keperluan dan juga kehendak syarak. Bila hendak diagihkan duit misalnya, yang kaya akan dapat sedikit dan yang miskin akan dapat lebih.  Sebagai contoh, kalau yang kaya dapat RM100, yang miskin perlu diberi RM300. Hal ini kerana yang kaya sudah mewah hidupnya manakala yang miskin hidup dalam keadaan yang susah dan mereka lebih memerlukan wang bagi menampung keperluan hidup. Dalam soal pembahagian harta pusaka, sistem Fara'id  dalam Islam telah menetapkan bahawa lelaki akan mendapat 2 bahagian manakala perempuan akan mendapat 1 bahagian. Islam telah menetapkan begitu kerana tanggungjawab lelaki adalah lebih besar dan lebih berat berbanding perempuan. Orang lelaki dipertanggungjawabkan untuk menyara keluarga, ibu bapa dan juga kakak atau adik perempuan yang masih belum berkahwin. Maka adil untuk lelaki mendapat bahagian yang lebih dalam pembahagian harta pusaka. 


Adil Dalam Berpoligami
Kita harus menerima hakikat bahawa fahaman sekular telah lama meresap ke dalam pemikiran kita. Dalam hal poligami misalnya, suami yang beristeri dua akan menganggap dirinya adil apabila dia membeli seekor ikan Siakap untuk setiap seorang isterinya. Kalau ikut fahaman sekular, itu sudah dianggap adil. Kalau ikut Islam, itu belum tentu adil. Untuk berlaku adil, si suami itu tadi perlu peka kepada keperluan serta kemahuan setiap seorang isterinya. Si suami ingat dengan membelikan seekor ikan Siakap untuk setiap seorang isterinya  telah menjadikan dirinya adil walhal dia lupa yang isteri nombor dua tak suka makan ikan. Isterinya yang nombor dua sebenarnya lebih gemar makan ayam. Maka dalam Islam, untuk berlaku adil, si suami perlu memberi sesuatu yang menjadi keperluan serta kemahuan setiap isterinya. Dalam hal ini, si suami boleh saja membelikan seekor ikan Siakap untuk isteri pertama tetapi dia perlu membelikan seekor ayam untuk isteri kedua dan kemudiannya barulah perbuatan itu boleh dianggap adil.  

Peringatan
"Jangan suka sangat bila nak kawin banyak sebab untuk berlaku adil bukanlah suatu perkara mudah". 

Ikut cara Islam, Hidup akan tenteram.

3 ulasan:

Mama Amirul berkata...

Pengertian ADIL ialah meletakkan sesuatu pada haknya.......

ieda Qema berkata...

yes.. ain1914.

adil.. meletakkan sesuatu pada tempatnya...... itu yg paling mudah nak faham! kan?

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

Ya..benar..letakkan sesuatu itu pada tempatnya..jgn salah letak..hoho