22 April 2012

Berdakwah Harus Sesuai Dengan Zamannya


Islam itu agama yang lengkap bahkan sempurna lagi mudah. Islam tidak akan sesekali bersifat kuno apatah lagi keterbelakang kerana ia adalah agama yang diredhai Allah SWt yang akan kekal benar serta lurus sehinggalah tibanya Hari Kiamat. 

Namun apa yang menjadi persoalannya kini ialah apakah pendekatan yang paling sesuai untuk digunakan demi memastikan Islam akan terus tersebar serta memberikan kesan yang mendalam terhadap jiwa umat Islam. Ternyata peredaran zaman yang membawa kepada dunia moden pada masa sekarang sedikit sebanyak telah memaksa para pendakwah Islam untuk mengubah pendekatan dakwah mereka supaya tampak lebih ringan serta mesra hadirin. Kandungan dakwah yang disampaikan juga tidak terlalu mendalam serta meleret kerana khuatir akan menghilangkan minat mereka yang menjadi kumpulan sasaran dakwah terutamanya golongan anak muda. Golongan muda pada masa kini lebih gemar dengan pendekatan dakwah yang lebih ringkas, padat serta  mengutamakan cara penyampaian yang menarik dan santai. 

Para pendakwah muda terutamanya banyak menggunakan pendekatan dakwah melalui penulisan Blog serta menghasilkan artikel-artikel berunsurkan Islam di Facebook. Ini sememangnya satu perkembangan yang baik dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada golongan muda yang tentu sahaja lebih menyukai ilmu-ilmu yang mudah untuk mereka gapai. Mentaliti anak muda yang tidak mesra akhbar tentu sahaja menyulitkan penyebaran dakwah yang menggunakan saluran yang kian tua itu. Ternyata penulisan-penulisan dakwah di alam maya serta penghasilan video-video berkenaan Islam lebih memberikan impak kepada golongan yang dahagakan ilmu Islam ini.


Maka, sama-samalah kita sebagai seorang Muslim bergerak seiring dengan peredaran zaman dalam menyampaikan setiap ilmu berkenaan Islam supaya Islam itu tidak dilihat sebagai ketinggalan serta lapuk.
Insya-Allah segala yang usaha yang baik akan dikurniakan ganjaran daripada Allah SWt di akhirat kelak. Sekian, Assalamualaikum. 

Tiada ulasan: