9 Oktober 2011

Adakah Kita Berdua Ditakdirkan Bersama?


Adalah menjadi lumrah kehidupan untuk kita jatuh cinta. Janganlah kita sesekali cuba menidakkan perasaan sendiri kerana kelak merana diri. Berilah peluang yang seluas-luasnya buat si dia dalam membuktikan cintanya pada dirimu. Elakkan daripada terburu-buru membuat keputusan yang melulu.

Tatkala di awal perkenalan, sudah pasti wujud perasaan berbelah bahagi yang bertindak seolah-olah sebagai batu penghalang ke arah kesinambungan sesebuah diari cinta. Kiranya perkara ini berlaku, maka kuatkanlah hatimu dalam mengharungi bisikan-bisikan jahat yang cemburu melihat akan kebahagiaan kisah cintamu. 

Jangan banyak disoal akan mengapa dirimu dipilih olehnya kerana cinta hakikatnya bukan bersandarkan pada alasan namun berpaksikan pada keikhlasan hati. Lantas sahaja dirimu curiga, tanyalah pada hati dan lakukannya kerana dirimu serta dirinya. Jangan sesekali mudah terpengaruh dengan dakyah jahat mereka yang di sekeliling yang barangkali punya kecemburuan yang menebal terhadap cintamu dan bakal tersenyum lebar kiranya ia hancur di pertengahan jalan. 

Jangan ditanya apakah kita ditakdirkan bersama kerana tidak akan ada jawapan yang meluru ke arahmu. Kenali dirinya dan selami hatinya. Insya-Allah masa yang akan menentukan sama ada kamu berdua memang benar ditakdirkan bersama atau ia sekadar satu pertemuan yang sementara.

Tiada ulasan: