Saluran Isu Semasa COOL fm |
MHZ memperkenalkan saluran Cool fm yang terbaru iaitu Saluran Isu Semasa Cool fm. Saluran yang akan mengupas akan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling kita. Ini merupakan entry yang pertama yang bernaung di bawah saluran Isu Semasa dan diharapkan para pembaca Cool fm tidak akan putus-putus memberikan sokongan padu kepada saluran terbaru Cool fm ini. Sekian, Terima Kasih.-MHZ
Filem KL Gangster yang ditayangkan pada waktu sekarang mendapat sambutan hangat oleh para peminat filem tempatan. Filem ini memuncak tinggi kutipannya ekoran para peminat tempatan yang barangkali mahukan kelainan dek kerana asyik disuap dengan filem-filem berunsurkan seram serta cinta.
KL GANGSTER
Filem terbitan SKOP Productions arahan Syamsul Yusof ini dilihat membawa kelainan dalam arena filem tempatan terutamanya dalam babak-babak aksi dengan menggunakan teknik 'shooting' yang baik serta sistem penataan bunyi yang mengagumkan sehinggakan para penonton merasa terpegun dan sama sekali membariskan tahap pencapaian filem ini setaraf dengan filem-filem aksi luar negara.
GANGSTER ZAMAN MODEN
Bila kita tengok je Filem KL Gangster ni, pasti terbuku di fikiran kita yang kegiatan gangsterisme seperti yang ditampilkan dalam filem itu bukanlah rekaan namun adalah satu cerita benar dan bukannya satu fantasi. Kegiatan gangsterisme pada zaman moden lebih tersusun dan lebih 'underground'. Zaman dahulu, kegiatan haram ini dilakukan secara terang-terangan sehingga polis sendiri tidak berani mengambil tindakan kerana risiko kehilangan nyawa yang tinggi.
Zaman moden memperlihatkan akan kecerdikan kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini menjalankan urusan mereka. Mereka tidak lagi menjalankannya secara terbuka malah ada sesetengah daripada mereka menjalankan perniagaan seperti orang-orang kebiasaan sebagai menutup kegiatan haram yang menjadi lubuk pencarian wang mereka yang utama.
Mengapa kegiatan gangsterisme boleh berlaku?
1. Mahu Kaya dengan segera
Semua orang tidak mahu hidup dalam kesusahan. Semua orang mahukan kemewahan dalam hidup. Justeru, lambakan manusia berpusu-pusu mengejar kekayaan demi memperoleh gaya hidup yang mewah yang menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia. Apa yang menjadi masalahnya di sini ialah ada sesetengah daripada kita yang mahukan kesenangan dengan sekelip mata maka kegiatan haram inilah menjadi pilihan kerjaya utama. Mana tidaknya, kegiatan haram seperti ini tidak membutuhkan modal, hanya dengan tulang empat karat yang sasa dan rasa perikemanusiaan yang menipis sahaja yang diperlukan untuk dijadikan modal kegiatan gangsterisme. Semakin lama, kumpulan gangster di sesuatu kawasan akan menjadi lebih besar dan kuat. Oleh yang demikian, para peniaga tidak akan dapat berbuat apa-apa dengan hanya membayar berapa sahaja wang perlindungan yang diminta agar mereka dan keluarga mereka tidak diapa-apakan.
2. Tekanan Hidup
Bila nak hidup, kita perlukan wang. Oleh kerana wang, ramai yang tertekan dan terseksa. Wang dapat menjamin kebahagiaan hidup. Kita bakal hidup merempat sekiranya kita enggak punya wang. Maka tidak hairanlah ramai yang mengalami tekanan dalam hidup kerana terpaksa bekerja siang dan malam memerah keringat demi menyuapkan sesuap nasi pada anak-anak yang setia menunggu di rumah. Akibat tertekan, mereka mengambil jalan mudah dengan membabitkan diri dalam kegiatan gangsterisme.
3. Tiada Didikan Agama
Apa jua masalah yang berlaku di atas muka bumi ini, agama pasti punya penyelesaiannya. Tanpa agama, maka pincanglah diri mana-mana individu sekalipun. Ibu bapa yang terlampau sibuk dengan urusan duniawi pasti akan membuatkan anak-anak mereka lalai dengan melakukan perkara-perkara mungkar yang dilaknat Allah SWT. Oleh itu, ibu bapa harus sedar akan tanggungjawab mereka supaya anak-anak tidak terjerumus ke dalam kancah jenayah seperti gangsterisme.
Sama-samalah kita memupuk diri kita serta ahli keluarga kita dengan nilai-nilai moral yang tinggi agar kita semua tidak akan terjebak dengan gejala-gejala tidak sihat.
MHZ, Kuatkan Jasad Mantapkan Jiwa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan