14 Januari 2011

Konsep Hijrah

Erti Hijrah Sebenar
Kebanyakan manusia zaman moden menafsirkan hijrah itu hanya sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Mereka lupa serta alpa bahawa pengertian hijrah itu meliputi makna yang sungguh meluas. Maka haruslah kita mengenal apa itu erti sebenar di sebalik kata hijrah.




Peristiwa Bersejarah Hijrah Rasulullah SAW
Rasulullah SAW dalam mengembangkan dakwah Islam, telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya berhijrah dari bumi Makkah Al-Mukarramah ke bumi Madinah Al-Munawwarah. Setiap permulaan yang baik itu penting dalam menjayakan sesuatu misi yang murni lagi mulia. Rasulullah SAW terpaksa berhijrah ke Madinah akibat tekanan daripada Kaum Musyrikin Makkah.

Tatkala menetap di Madinah, Islam dapat disebarkan tanpa halangan. Maka ramailah yang memeluk Islam hasil daripada proses penghijrahan besar-besaran itu. Kaum Aus dan Khazraj yang sering bertelingkah juga telah berdamai setelah kedatangan Islam dan mereka digelar Kaum Ansar manakala orang-orang Makkah yang berhijrah ke Madinah pula digelar Kaum Muhajirin. Maka terjalinlah persaudaraan yang erat di antara Kaum Ansar dan Muhajirin atas nama agama Allah SWT yakni Islam.


Justeru, kita harus senantiasa mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah ini serta menerapkan nilai-nilai murni peristiwa ini ke dalam diri kita.


Konsep Hijrah Sebenar
Hijrah itu bukan hanya bermakna perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain bahkan lebih daripada itu. 

Hijrah itu seharusnya secara menyeluruh. KIta seharusnya tidak mengecilkan akan skop hijrah itu sendiri. Hijrah itu bakal melibatkan penampilan, akhlak, hati serta amalan atau perbuatan kita. Sekiranya perubahan ini dapat kita lakukan nescaya hidup kita akan selamat di dunia dan juga di akhirat. Hijrah yang dimaksudkan di sini ialah hijrah ke arah sesuatu yang lebih baik. Hijrah dari sudut Islam bermaksud sesuatu yang mulia atau murni di sisi Islam. 


Marilah sama-sama kita mengajak diri kita dan juga rakan-rakan yang lain supaya berhijrah ke arah yang lebih baik. Moga-moga usaha murni kita ini diberkati serta diredhai oleh Allah SWT.

Tiada ulasan: