28 Disember 2010

Bola Sepak Malaysia Kembali Mengaum

Bola Sepak Malaysia Bangkit Semula
Memang ternyata suatu keputusan yang cukup membanggakan apabila pasukan Harimau Malaya bisa menumpaskan Sang Garuda 3-0 dalam Perlawanan Akhir Pusingan Pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya yang turut serta menjadi penyokong dengan puluhan ribu penyokong Malaysia yang lain di Bukit Jalil ternyata teruja dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak didik K.Rajagopal. Mereka ternyata mendapat rentak dalam mengekang serangan Indonesia dan menebus maruah negara yang kecundang 5-1 di tangan Indonesia sebelum itu. Kebangkitan yang bergaya itu menunjukkan bola sepak negara sudah bernafas kembali dan kita mengharapkan rentak kemenangan ini bukan hanya di sini malah berterusan sehingga ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
 


Penyokong Malaysia Harus Matang

Oleh kerana saya sendiri hadir pada malam itu, maka saya dapat melihat gelagat penyokong Malaysia secara dekat. Saya ternyata bangga dengan sokongan padu yang diberikan oleh para penyokong. Saya sendiri cukup bersemangat melaungkan sokongan kepada pasukan negara sampai tiada suara dibuatnya. Dalam keasyikan kita memberi sokongan, kita harus senantiasa matang. Jangan dibalas sesuatu yang buruk yang dibuat kepada kita. Walaupun seolah-olah tampak kalah namun kita menang hakikatnya. Meskipun penyokong Indonesia melakukannya, itu bukan tiket untuk kita melakukan perkara yang sama. Indonesia mungkin yang mula-mula menggunakan pancaran laser, mereka mungkin yang biadap menge'boo' lagu Negaraku tetapi jangan kita tergolong seperti mereka dengan melakukan perkara yang sama. Biar tampak mengalah namun dari segi prinsip serta moral, dunia bakal menilai akan kematangan para penyokong Malaysia. 

Jangan Hangat-Hangat Tahi Ayam

Semangat pasukan negara harus diteruskan dan disemai. Jangan kita alpa dengan kejayaan sekarang. Kita harus senantiasa pandang ke hadapan. Para pemain Malaysia harus terus-menerus melakar kejayaan dan saya yakin para peminat tempatan pasti sudi bertandang ke stadium nasional kerana cintanya mereka pada tanah air. Usah biarkan benih itu terbiar di situ, siramilah, bajailah ia, agar kita akan dapat menuai hasilnya kelak.

Majulah Sukan Untuk Negara

2 ulasan:

E'in berkata...

m'sia menang!!!!! =)

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

Teruskan menyokong pasukan Malaysia..Malaysia Boleh...