15 Oktober 2010

Wanita Solehah-MHZ

Siapa yang tidak mahu beristerikan wanita yang solehah. Boleh dikatakan semua lelaki berkehendakkan pasangan hidup yang taat pada perintah Allah SWT dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ketentuan dalam jodoh itu adalah kuasa Allah SWT. Kiranya Allah mahu menemukan jodoh kita dengan si dia maka insya-Allah bakal berputiklah bunga-bunga cinta yang telah kita harapkan sekian lama itu.

Walaupun si lelaki itu buas orangnya, suka bersosial hingga ke lewat malam namun itu tidak mengecualikan dirinya daripada mahu memiliki permata dunia yang patuh pada ajaran Islam yang dibawa oleh utusan Allah, Nabi Muhammad SAW. Mat Rempit, Bohjan, Kaki Botol, Kaki Judi, mahupun para playboy, semuanya mempunyai cita-cita yang sama yakni mahukan pasangan yang masih suci dan berupaya membawa keluarga ke arah kehidupan yang bahagia.

Jadi, para wanita, golongkanlah diri anda dalam golongan wanita yang solehah. Anda tidak semestinya perlu bertudung labuh, berpurdah, mahupun berjubah. Cukuplah sekadar pakaian yang sopan, yang menutupi aurat, dan yang terutama, pamerkan ciri-ciri wanita Islam dan wanita timur yang senantiasa menitik beratkan kesopanan dan kesusilaan.

Minah Rempit, Bohsia, GRO dan lain-lain. Kembalilah ke jalan yang benar. Sesungguhnya lelaki di luar sana hanya mahu berfoya-foya serta berseronok dengan dirimu sahaja. Tidak pernah terlintas di hati mereka ingin memperisterikan dirimu. Mereka sudah lali dengan perangaimu. Mereka sudah tahu akan perihal dirimu yang sudah terjerumus ke lembah kehinaan. Apakah kamu rasa dirimu akan mereka pilih? Sedarlah wahai kaum Hawa. Para lelaki ini meskipun perangainya umpama iblis sekalipun, di akhir cerita, mereka juga inginkan akan seorang bidadari solehah yang bakal berdampingan dengan mereka sehingga ke akhir hayat.

Renung-renungkan. Selamat beramal.-MHZ

Tiada ulasan: