15 Oktober 2010

Memori Prep School Siri 3


Pagi ini sedikit berlainan bagi para pelajar tingkatan satu. Mana taknya sebab satu pertukaran tempat yang akan mengambil masa untuk mereka mula menyesuaikan diri. Aku dapat merasakan pelbagai jenis aura yang dapat dirasakan yang melihatkan ada yang cukup gembira dan tak kurang juga yang kelihatan sedih mahu pulang ke rumah mereka.
Mereka segera bergegas ke tempat yang memperlihatkan mereka diajar cara-cara untuk memasang cadar dan selimut.Aku ingat kembali pada tahun 2006 yang memperlihatkan aku mula menjejakkan kaki di MCKK dan aku mula-mula sekali diajar oleh seorang pengawas tingkatan 5 yang bernama Wan Muhammad Syazwan yang kemudiannya agak rapat denganku.

Tanpa melengahkan terlalu banyak masa, aku menunjukkan cara-cara untuk mengemas tempat tidur mereka sambil menerangkan serba sedikit tentang kerja-kerja mengemas itu. Aku diusik oleh budak-budak itu kadang kala dan membuatkan keadaan di dorm itu nampak riuh rendah dan semuanya kelihatan ceria. Dorm itu juga dilawat oleh guru-guru yang merupakan mentor mereka.Guru-guru ini juga tidak duduk sahaja tetapi turut membantu para pengawas dalam memberi tunjuk ajar kepada budak-budak baru yang serba banyak tak tahu.

Kemudian,waktu petang diisi dengan aktiviti riadah seperti bermain bola. Tak dapat nak sentuh bola pun kerana hampir 100 orang lebih bermain bola di padang yang sepatutnya menyaksikan hanya 22 orang sahaja yang bermain di situ .Malamnya diisi dengan aktiviti orientasi lagi. Malam ini agak berlainan. Ada beberapa senior yang datang untuk melatih para pelajar baru yang bakal mempersembahkan sesuatu pada malam penutup minggu orientasi nanti.

Meskipun ada adegan beberapa orang senior dihalau Cikgu Bibi kerana tidak bertanya akan kebenaran dia terlebih dahulu bagi melibatkan diri namun program itu berjalan lancar juga akhirnya.

Hari berikutnya budak-budak itu diajar pula bagaimana untuk memakai sampin. Jadi pelbagai gelagat dapat kulihat dan pelbagai jenis sampin terhasil daripada hasil buatan artis-artis yang kreatif belaka semuanya. Aku juga bukanlah hebat sangat memakai sampin tetapi aku tidak terkecuali dalam memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Esoknya, mereka memakai sampin dan sudah pasti mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Aku dan rakan-rakan yang lain mengiringi para pelajar ini ke masjid bagi menunaikan solat jumaat. Ianya mengambil masa lebih kurang 8 minit untuk sampai.

Bersambung...

Tiada ulasan: