18 September 2010

Memori Prep School Siri 2


Pagi seperti biasa sejuk dan dingin namun sedikit berbeza dari naluri keinginan yang membuak-buak mahukan sesuatu yang baru bakal melanggar kebiasaan yakni lumrah di bangunan berusia hampir 80 tahun ini. Bangunan ini seolah-olah sudah biasa menyambut akan kedatangan budak-budak berfikiran masih belum cukup matangnya setiap tahun. Satu peristiwa bersejarah bakal berlaku pada tanggal tarikh ini iaitu kelahiran sebuah batch di kolej yang telah menyaksikan ramai pejuang negara lahir di sini. Saat yang dinanti-nantikan semua akan kelahiran batch ini yang akan bakal menentukan nasib serta maruah The Malay College.

Tarikh 8 Januari 2007, satu tarikh penuh makna yang memberi impak yang cukup hebat kepada institusi ini yang bertanggungjawab melahirkan pemimpin negara yang berkredibiliti serta mempunyai kehebatan tersendiri dan sudah tentu mempunyai kelainan dari segi ideologi yang akhirnya akan menguntungkan negara jua.

Aku dan rakan-rakan telah turun ke bilik air dan mandi bagi menyiapkan diri untuk menyambut kedatangan anak-anak didik kami yang akan kami bimbing selama setahun lamanya. Aku juga turut bergegas menyiapkan diriku untuk hari bersejarah ini. Aku dan rakan-rakan di Prep School tidak bersendirian tetapi turut dibantu rakan-rakan pengawas tingkatan 5. Seawal pukul 8 pagi kami sudah tunggu akan kehadiran pelajar-pelajar baru yang bakal diiringi para ibu bapa yang semestinya menyibukkan diri mereka di asrama itu.

Aku melihat akan kesibukan ibu bapa yang mahu memastikan anak mereka tidak menghadapi kesukaran di sekolah yang baru. Maklumlah sudahlah baru menjejaki tahun pertama di sekolah menengah malah jauh daripada ibu bapa yang tersayang. Terpapar di wajah pelajar-pelajar tingkatan satu akan kesedihan berpisah dengan ibu bapa serta adik-beradik yang lain.

Aku teringat kembali waktuku di Penang Free School dahulu ketika tahun 2003. Aku menangis setelah melihat kenderaan ayahku meninggalkan kawasan sekolah dan yang pasti juga meninggalkan aku juga di situ sekali. Aku tak tahan duduk di asrama dan menyaksikan aku keluar dari PFS dan seterusnya ke SMK Saujana Indah. Di sekolah baru itu telah aku menggilap segala potensi diriku untuk menjadi seorang pelajar yang hebat tidak kira apa jua bidang yang ku ceburi kerana persaingan ketika ini sungguh menakutkan.

Cukuplah mengimbau kisah dulu kerana tidak mampu untuk kita mengubah perkara yang sudah. Kita perlu sentiasa ke hadapan kerana itulah yang bakal mengubah kehidupan pada hari ini. Percaya atau tidak?Percayalah kerana sesungguhnya percaya lebih baik daripada yang tidak baik.

Aku melihat akan kesibukan semua yang sibuk menguruskan diri masing-masing. Budak-budak baru seolah-olah terpinga-pinga kerana maklumlah mereka mana tahu buat semua benda-benda itu semua, sebelum ini mak yang buat semuanya
Pelbagai gelagat dapat kulihat. Tidak kira pelajar-pelajar baru mahupun ibu bapa, semuanya ada gelagat tersendiri yang sedikit sebanyak menjadikan Prep School riuh rendah pada hari itu, mana taknya satu keluarga datang bertandang ke mari,atuk dan nenek pun ikut sekali. Aku di situ membantu budak-budak memasang cadar dan juga menjadi mangsa temu bual ibu bapa yang tidak dapat ku tepis lagi kerana soalan yang bertalu-talu, sama sekali membuat diriku letih benar. Ada soalan macam mana nak hantar dobi, ada pula yang bertanya mana kelas tingkatan satu, mana dewan makan, mana tandas, dan macam-macam lagi soalan cepu emas yang aku jawab dengan penuh keyakinan kerana tidak mahu nampak bodoh di khalayak yang memerhatiku setiap kali aku menjawab soalan-soalan maut, semuanya mahukan info tentang sekolah. Kemudian, para ibu bapa akan menerangkan kembali dan memotivasikan pula anak-anak mereka supaya berminat untuk terus tinggal di sini.

Ada ibu bapa yang memberikan aku buah rambutan tanda penghargaan bagi mengambil sedikit perhatian kepada anak mereka yang masih perlukan perhatian dari orang yang lebih dewasa. Aku faham benar kerana dulu pun ibuku pernah berbuat perkara yang sama. Lagipun anaknya menghidap penyakit jantung berlubang.

Beberapa orang rakanku melenakan diri mereka di bilik aku mungkin kerana terlalu letih. Hari itu berlalu dengan agak cepat. Aku dan rakan-rakan makan sekali bersama-sama dengan para pelajar baru di Dining Hall Prep School. Kami melihat para pelajar baru kelihatan masih diselubungi kesedihan dek ditinggalkan di sini yang entah benar atau tidak mampu membentuk mereka menjadi orang yang hebat kelak.
Kami memperkenalkan diri kami ketika grey pada malam itu. Aku begitu bersemangat untuk menyiapkan diriku dalam mendidik budak-budak ini.

Malam disambung dengan program orientasi mereka yang mengambil tempat di Dewan Hargreaves. Kami juga menghadirkan diri di situ kerana kami turut terlibat secara langsung. Pada malam itu, aktiviti ice breaking diadakan. Mereka mula mengenali sedikit sebanyak tentang diri rakan-rakan yang baru. Ini merupakan satu permulaan yang baik untuk mereka semua.

Pada malam itu, mereka tidur awal lebih kurang 10.30 malam atas arahan tuan pengetua dan juga Ustaz Hasnan yang berperanan sebagai penyelaras Tingkatan Satu.

8 Januari 2007 berakhir dengan mengisi memori-memori baru dan pastinya menjadi cerita kepada semua yang terlibat. Cabaran hari ini telah kita berjaya tempuh namun apakah kita mampu terus menghadapi cabaran-cabaran yang bakal kita tempuhi untuk hari-hari akan datang.

Tiada ulasan: