23 Ogos 2010

Siapa Diriku...-MHZ


Nama aku diberi bersempena dengan nama seorang budak yang dikenali oleh mamaku ketika zaman sekolah menengahnya. Ketika zaman persekolahan mama, mama berkenan sungguh dengan seorang budak yang dihantar oleh ayahnya, seorang pegawai awam ketika itu ke sebuah tadika bersebelahan dengan tempatnya belajar. Mama katakan budak itu tampak kemas dan bersih orangnya jadi dia berkenan sungguh melihat peribadi budak itu. Dan oleh kerana dia berkenan dengan budak itu, dia menginginkan sekali meletakkan nama anaknya serupa dengan nama budak itu iaitu Hakimi. Dan itulah sejarah bagaimana namaku diberi oleh mamaku yang tercinta. Mohd Hakimi bin Zulkifly, itulah namaku kini dan buat selamanya.

Aku dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah dan merupakan anak sulung daripada 3 adik-beradik. Abahku berasal dari Sungai Petani dan mamaku pula dari Alor Setar. Maka aku ini boleh dikatakan anak jati Kedah jugalah walaupun dari sudut latar belakang pendidikan, aku tidak pernah bersekolah di Kedah.

Aku menghabiskan zaman sekolah rendah masing-masing di SK Seri Iskandar, Perak dan SK Permatang Tok Mahat. Kemudiannya aku menyambung pengajian di Penang Free School dan menamatkan pengajian menengah di The Malay College Kuala Kangsar pada tahun 2007.
Aku melanjutkan pelajaran di peringkat Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Perlis. Dan kini mengambil program undang-undang di Universiti Utara Malaysia(UUM).

Aku berminat benar dalam sastera mahupun politik. Aku sudah mula berjinak-jinak dalam sastera dari sekolah rendah lagi. Mulai darjah 4, aku sudah mula aktif dalam sayembara puisi dan pantun. Aku mula bergiat aktif dalam penulisan sejak menjejakkan kaki di bumi The Malay College. Sehinggakan aku digelar orang sastera ketika mengaji di Kolej Melayu. Aku tidak pernah cuba untuk berbangga akan kelebihan ini kerana bagiku ini adalah anugerah Allah dan menjadi tanggungjawab aku bagi berkongsinya bersama orang lain.

Ketika di Tingkatan 1 lagi, aku sudah mula menulis skrip drama sekolah. Dan aku tidak berhenti setakat di situ, aku juga melibatkan diri dalam syarahan, pidato dan debat. Tidak terkecuali Forum Remaja. Aku kadang-kadang memikirkan mengapa aku harus melibatkan diri dalam sastera. Akhirnya aku sedar bahawa aku perlu berkongsi pemikiran dan ilmu melalui mata pena. Dengan cara ini maka lebih mudah untuk aku menyampaikan pendapat serta hasrat hati.

Dunia politik sekolah sudah dapat aku rasakan bahangnya ketika di The Malay College lagi. Aku diberi tanggungjawab untuk menjadi Pengawas atau Custodian kepada pelajar Form 1 ketika di Tingkatan 5. Aku cuba sedaya upaya aku berkongsi segala apa yang aku miliki dari sudut ilmu dan pengalaman. Hubungan baik aku dengan mereka membolehkan kami masih berhubung sehinggalah kini.

Aku mula menunjukkan minat yang lebih serius apabila mula berkecimpung dalam politik kolej tatkala di matrikulasi. Aku menyertai pilihan raya dan akhirnya diberi peranan memegang jawatan Yang Dipertua JPP Kolej Matrikulasi Perlis. Peranan yang berat itu berjaya aku pikul bersama rakan-rakan JPP yang lain yang senantiasa bersama mengharungi suka dan duka.

Kini aku berjuang bersama rakan-rakan program Undang-Undang dalam memartabatkan nama Undang-Undang UUM di mata Malaysia dan sekiranya mampu, di peringkat dunia. Perjuangan hidupku masih belum selesai. Buat masa sekarang, setakat ini sahaja yang mampu aku kongsikan bersama. Salam Ramadhan pada semua.- MHZ, MCKK Class of 2007