16 Julai 2010

Usahlah Bercinta-MHZ



Aku seakan kaku. Tidak pernah ku sangka permata itu rupa-rupanya hanya kaca. Sangkaanku ternyata meleset. Dia sama sekali tidak seperti yang aku harap-harapkan. Apa yang terucap di bibirnya tidak lebih dari sebuah penipuan yang maha dahsyat kesannya pada diriku.

Dia sungguh sempurna. Dan kesempurnaannya itu bukan sahaja elok di mataku malahan barangkali di mata para jejaka yang lain tatkala menatap dirinya. Pengakuan olehnya tentang apa yang diungkapkan olehku selalunya membuatkan aku memuja dirinya kerana dia jarang-jarang benar mengatakan tidak pada setiap permintaanku. Namun kini aku tahu bahawa pengakuan dirinya itu hanya retorik yang dicemari seribu kepalsuan.Kebenaran tentang tanggapannya kepadaku menambah barah kepada semua ini. Dia menjelaskan segalanya kepada sahabat baiknya. Kepahitan itu sukar sekali untuk ku telan. Masakan tidak. Dia itu umpama bidadari dunia. Yang mekar mewangi di taman larangan. Tidak ku sangka duri mawar itu sebegini tajam sehingga mampu menghiris hatiku.

Dia sebenarnya sungguh istimewa. Tak dapat aku nafikan itu semua. Maka tak hairanlah aku terpaut padanya dengan pandangan pertama. Aku tidak pernah membenci dirinya. Malah bagiku dia tetap yang bertakhta di mahligai cinta. Meskipun aku tahu itu semua hanya istana palsu yang wujud dalam dunia fantasiku.

Hakikat semua ini sukar sekali ingin ku terima. Apatah lagi ia melibatkan soal hati. Apa yang jelas ialah aku sudah serik dengan dunia percintaan. Aku sudah pasrah dan sudah tempang bagi meneruskan dunia kejam yang disangka indah ini. Walaupun jauh di satu sudut hatiku, ingin sekali ku teruskan hidup dalam kekejaman cinta tetapi tak dapat aku nafikan suara hati yang membisik agar aku usah bercinta lagi.

2 ulasan:

budak EON berkata...

abg DJ kimi.. nak lagu balasan janji palsu mu dari kumpulan leon 1!!

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

amboi..dhsyat sungguh..nk balas pn tk boleh..sbb cinta tk brbalas..