16 Julai 2010

Minggu Suai Kenal DPP SME Bank (Besar Punya...)


Setelah malam terakhir yang menyaksikan minggu orientasi pelajar baru UUM menutup tirainya, aku seakan termenung sendiri. Terasa diri yang dilanda keriangan tiba-tiba dihimpit kepiluan dan kesunyian. Jutaan sebab yang membuatkan aku terasa begitu. Barangkali terasa pilu kerana tidak dapat lagi bersama-sama beramai-ramai begitu lagi.

Satu detik yang hebat dan menggembirakan untuk diriku menyumbang bakti dan dalam masa yang sama mengenali para pelajar baru yang semestinya tidak tahu-menahu hal perihal UUM. Maka kami para fasilitator tidak jemu2 dalam memberi segala tunjuk ajar yang secukupnya bagi memastikan mereka berada pada landasan yang betul.

Aku berasal dari DPP Perwaja. DPP yang menempatkan pelajar yang menyertai PALAPES. Cara kehidupan di sana boleh dikatakan jauh berbeza dari kehidupan di Bukit Kaci ini. Aku dan rakan-rakan sentiasa bersama dalam apa jua rintangan dan dugaan tatkala aku masih lagi berpijak di bumi Perwaja. Di situlah, aku mula mengenal tentang dunia UUM. Para fasilitator Perwaja telah memberikan aku pengetahuan yang cukup dalam menyemai cintaku kepada UUM. Dari itulah, cintaku kepada Perwaja mula berputik sehingga aku dilantik menjadi Exco Kesenian Kebudayaan JPM Perwaja.

Ketika di awal semester 2, aku telah diarahkan utk berpindah ke DPP Bank Rakyat atas alasan programku berada di bawah COLGIS. Memandangkan aku bukan ahli PALAPES, maka aku mengheret segala kelengkapan aku ke Bumi Kaci bertuah setelah hampir satu semester aku mencurah bakti kepada DPP Perwaja. Jauh di sudut hatiku, akan ku kembali ke DPP Perwaja satu hari nanti.

Ketika di DPP Bank Rakyat, aku mulanya kesepian namun setelah beberapa purnama, akhirnya aku telah mendapat lambakan kenalan sehinggalah ke DPP SME Bank. Aku tidak menafikan yang aku tidak aktif ketika di semester 2. Aku lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan dan langsung tidak menyertai aktiviti anjuran DPP. Mungkin aku masih terpaut pada cintaku di bumi Perwaja.

Setelah hampir ke penghujung semester 2, aku bersetuju dengan tawaran Yanie utk menjadi fasilitator di DPP SME Bank. Aku tidak mahu lagi menjadi tunggul kayu di bumi Kaci. Sudah tiba masanya utk aku melebarkan kembali sayapku dan mengembangkan semula empayar yang telah terbiar lama.

Ketika berkenalan dengan fasilitator DPP SME Bank, mereka tidak pernah menampakkan kurang senang dengan kehadiran kami malah mengalu-alukan kedatangan kami dari DPP Bank Rakyat. Aku agak terharu apabila seterusnya dilantik menjadi Ketua Fasilitator sempena minggu suai kenal. Keluarga kami bertambah lagi dengan kehadiran para fasilitator dari DPP Mas dan DPP Sime Darby. Kami begitu berterima kasih kerana mereka sudi datang bagi menghulurkan bantuan kepada kami yang sememangnya memerlukan.

Para pelajar baru DPP SME Bank sememangnya hebat-hebat belaka. Mereka boleh dikatakan cukup 'sporting' dalam menjalankan apa jua aktiviti yang diadakan. Meskipun ada yang tidak memberikan kerjasama, namun bilangannya sama sekali tidak menjejaskan yang lain. Rata-rata semuanya sentiasa proaktif dalam memartabatkan nama DPP SME Bank.

Sehingga sekarang, ramai yang menghubungi saya dalam bertanyakan hal perihal UUM. Saya semestinya akan sentiasa membantu anda dalam apa jua masalah yang anda hadapi selagi mana saya mampu. Diharapkan agar perhubungan kita akan terus begini dan mungkin bakal bertambah mesra lagi dari hari ke hari.

Di universiti ini, DPP Perwaja itu kampung halamanku, tempatku bermula mengadu. DPP Bank Rakyat tempat aku mulai matang dan bersedia dengan cabaran mendatang. Namun tidak dapat saya nafikan lagi, cinta saya di universiti ini berputik dan tertinggal di DPP SME. Kiranya diizinkan Allah, mungkin destinasi saya selepas ini ialah DPP SME Bank. Kerana saya merasakan di situlah tempat yang sesuai untuk saya kembali mengukir cinta yang telah terbiar sekian lama.

2 ulasan :

suesue berkata...

hahaha...cintaku tertinggal di sme bank? ceh..

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

ayat mmg mantap sue..besar punya..haha