15 Mac 2013

Kahwini Dia, Kahwini Keluarganya

KAHWINI DIA, KAHWINI KELUARGANYA

Percintaan yang sebenar ialah percintaan yang membawa kepada nikah. Seseorang lelaki yang benar-benar ikhlas serta serius terhadap seseorang perempuan sewajibnya menyertakan bersama usaha ke arah nikah. Sekiranya dia tidak berniat untuk menikahi perempuan berkenaan maka seeloknya tidak diadakan perhubungan cinta itu daripada awal lagi kerana sesungguhnya ia cuma bakal menyiksa hati si gadis.

Namun harus diingat, perkahwinan bukan semata-mata melibatkan penyatuan di antara si lelaki dan si perempuan bahkan ia lebih daripada itu. Konsep perkahwinan seharusnya diperluaskan kepada penyatuan di antara dua keluarga kerana kesempitan pemikiran yang meletakkan perkahwinan hanya melibatkan dua insan sememangnya bakal mencetuskan masalah kepada pasangan berkenaan pada masa akan datang.

"Perkahwinan bukan hanya semata-mata melibatkan penyatuan di antara dua insan bahkan ia merupakan penyatuan di antara dua keluarga. Maka adalah tidak tepat sekiranya perkahwinan hanya dikaitkan dengan penyatuan di antara si lelaki dan si perempuan. Sekiranya konsep ini tidak difahami sepenuhnya maka masalah yang bercambah bakal timbul di kemudian hari." 
- MHZ

Oleh kerana kurangnya pemahaman berkenaan dengan konsep sebenar perkahwinan maka banyaklah pasangan pada masa kini yang hanya mengejar cinta mereka sahaya tanpa memikirkan langsung akan keluarga mereka yang telah mendidik lagi membesarkan mereka selama puluhan tahun. Mereka lebih gemar mengutamakan cinta yang baru setahun jagung sehingga sanggup mengenepikan pandangan orang tua mereka kerana terlalu buta mengejar cinta dunia.

Ibu bapa sememangnya dalam hal ini sangat peka lagi serius kerana hal perkahwinan bukanlah sesuatu yang bisa dipermainkan. Maka tidak pelik sekiranya mereka agak cerewet dalam meneliti calon menantu yang bakal bersama-sama melayari bahtera perkahwinan bersama anak mereka. Mereka berlakuan begitu kerana hakikatnya mereka lebih mengenal akan keperluan bagi berumahtangga berbanding si anak yang mungkin masih baru bertatih dalam mengenal dunia sebenar terutamanya melibatkan perihal perkahwinan. 

Saya tertarik dengan satu pesanan daripada seorang penceramah yang hebat iaitu saudara Irol Irwan Limin yang juga merupakan penulis kepada buku 'Perisai Buat Wanita'. 

Beliau mengatakan bahawa;
"Meskipun alasan penolakan ibu bapa kita terhadap calon pasangan kita itu tampak tidak berasas mana sekalipun, janganlah kita sesekali melawan kerana hakikatnya ibu bapa mempunyai deria yang keenam yang mana mereka seolah-olah tahu ada sesuatu yang tidak kena pada diri seseorang itu."

Perkahwinan tanpa restu ibu bapa sememangnya bakal membawa kemudaratan suatu hari nanti. Maka seeloknya jalinkanlah hubungan yang rapat serta baik dengan keluarga bakal pasangan kerana perkahwinan memerlukan penyatuan di antara dua keluarga dan bukannya semata-mata tentang engkau dan dia. Renung-renungkan. Selamat beramal.

Tiada ulasan: