18 Julai 2012

Tabiat Orang Kita Dalam Bulan Ramadhan

Tabiat Orang Kita Dalam Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan Al-Mubarak kini semakin menghampiri kita. Maka eloklah untuk kita menyiapkan diri kita dari segi fizikal, mental serta spiritual bagi menghadapi bulan yang mulia ini. Ramadhan hanya datang setahun sekali dan sebaiknya kita menggunakan kesempatan yang diberi ini bagi mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWt.


Masyarakat Islam termasuk masyarakat Melayu Islam di Malaysia pastinya tidak sabar lagi menunggu kehadiran Ramadhan yang mulia. Bulan yang membawa rahmat serta keberkatan kepada umat Islam. Dalam penulisan ini, saya menggunakan terma 'Melayu Islam' kerana pada masa sekarang bukan semua Melayu beragama Islam. 

Seperti mana masyarakat Islam di negara-negara lain, orang Melayu Islam di Malaysia juga turut mempunyai tabiat mereka yang tersendiri ketika berada di dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Antaranya ialah:-

1. Mereka Hanya Berpuasa Semata-Mata Tetapi Gagal Menunaikan Solat 5 Waktu Sehari Semalam
Ramai dalam kalangan orang Melayu Islam yang berpuasa penuh selama sebulan akan tetapi puasa mereka tidak disertai dengan ibadah Solat 5 Waktu Sehari Semalam. Alangkah ruginya kita. Puasa yang menghalang kita daripada makan dan minum serta melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita mampu buat, Solat 5 Waktu yang menjadi tiang agama kita tak mampu buat. Puasa yang bermula daripada terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari kita mampu laksanakan, mengapa solat 5 waktu yang setiap satunya hanya memerlukan 5 minit untuk kita laksanakan tetap kita gagal untuk melaksanakannya. 

2. Ibadah yang sunat dikejar-kejar, ibadah yang wajib dibiar jatuh berciciran
Orang Melayu Islam sama sekali tidak dapat lari daripada fenomena Solat Sunat Terawih. Mereka gemar sekali menunaikan Solat Sunat Terawih akan tetapi Solat 5 Waktu yang wajib itu mereka tidak endahkan. Harus diingatkan di sini bahawa bukan semua orang Melayu Islam yang gemar ke masjid bagi menunaikan Solat Sunat Terawih itu tak solat 5 waktu. Hanya ada segelintir sahaja yang berkelakuan begitu yang mana Terawih dia pergi tapi solat 5 waktu yang wajib itu entah ke mana pergi. Dalam hal ini, orang Melayu Islam harus sedar dan faham akan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. Dahulukan perkara yang wajib dan kemudiannya barulah diiringi dengan ibadah-ibadah sunat seperti Solat Sunat Terawih dan sebagainya. Yang lebih penting itu yang harus kita utamakan walau dalam apa jua keadaan sekali pun. 

3. Boros berbelanja dalam membeli juadah berbuka puasa
Tidak salah untuk berbelanja apatah lagi bagi tujuan membeli juadah untuk berbuka puasa. Apa yang menjadi masalah ialah keborosan yang melampau dalam membeli juadah sehinggakan terlalu banyak lebihan makanan yang menyebabkan sebahagiannya terpaksa kita buang. Amalan pembaziran yang sebegitu seharus nya kita jauhi supaya nafsu tidak menguasai diri.


Segala tabiat yang tidak baik itu harus kita kikis agar ibadah puasa kita tidak akan terhakis. Maafkan saya sekiranya ada salah dan silap. 

"Segala Yang Baik Itu Datang Daripada Allah SWt dan Segala Yang Buruk Itu Datang Daripada Diri Saya Sendiri"

3 ulasan:

ain1914 berkata...

Melayu Islam sekarang kata masa ni lah nak top up balik amalan yang tertinggal

Mohd Hakimi Zulkifly berkata...

Ya..btul..tambahkan amalan di bulan Ramadhan

Mila Ahmad berkata...

semua diatas betul belaka heeee...