Amalan 3M dalam kehidupan seharian semestinya tidak dapat kita sangkal lagi. Ia sudah sebati dalam kehidupan bermasyarakat dan barah ini setiap saat bertambah parah. Amalan 3M yakni menghina, mengumpat serta mengeji merupakan amalan yang sudah dianggap biasa tanpa memikirkan berbondong-bondong dosa yang akan dibawa ke akhirat kelak.
Fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Mahukah kita dihumban ke Neraka Jahannam kerana lidah kita yang lancang berkata-kata? Mahukah kita menjadi bahan bakar api neraka kelak? Janganlah kita menggolongkan diri kita menjadi sebahagian daripada kalangan yang suka menghina, mengumpat dan mengeji ini. Sesungguhnya ini semua hanya mengundang murka daripada Allah SWT. Sesungguhnya yang terbaik di kalangan kamu ialah yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
Aku pada suatu saat didatangi seorang sahabat. Dia ada mengadu tentang perihal dirinya padaku. Dia sedikit sebak dan sedih dengan kata-kata yang dilemparkan oleh rakannya sendiri. Dia pada dasarnya menaruh hati pada seorang gadis. Ketelusan hatinya menyebabkan dia memberitahu akan isi hatinya pada seorang rakannya yang bertindak sebagai ketua pada mereka. "Aku suka tengok dia tu..Cantik orangnya" Luahnya pada rakannya yang sedikit kurang senang dengan kenyataan itu. "Eh, kau ni sedarlah diri sikit..Kau tu tak layak untuk dia" Kata-kata rakannya itu membuatkannya terdiam. "Dia tu orang kaya..Kau tu dah la miskin..Mana layak dengan dia" Kata-kata itu sungguh melampau. Dia hanya mendiamkan diri kerana dia sedar yang dia memang berasal daripada keluarga yang susah. Dek kerana itu, dia berhenti daripada mendekati mahupun cuba mengenali gadis itu.
Pengajaran daripada peristiwa ini ialah janganlah kita menghina mereka hanya kerana miskin atau kayanya mereka. Di sisi Allah SWT, kita adalah sama dan yang membezakannya hanyalah iman dan taqwa. Mulia atau hina seseorang itu tidak terletak pada raut wajahnya, harta kekayaannya mahupun pangkatnya tetapi yang dinilai Allah SWT ialah pengabdian diri kepada-Nya.
Yang gemar menghina, mengumpat serta mengeji, hentikanlah ini semua. Tidak ada faedah walau satu sen pun mengeji orang lain bahkan hanya mengundang murka Allah SWT. Bahkan perbuatan ini hanya memporak-perandakan institusi keluarga, masyarakat serta negara.
Kembalilah kepada jalan yang benar yakni jalan yang diredhai Allah SWT nescaya hidup kamu akan tenang dan selamat. Insya-Allah. Jadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan. Moga selamat di dunia dan juga di akhirat. Amin.
'Yang Baik Itu Datang Daripada Allah SWT dan Yang Buruk itu Berpunca Daripada Kelemahan Saya Sendiri'-MHZ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan