21 Oktober 2010

Kedah vs Kelantan (Perlawanan Penuh Hambar)

Piala Malaysia
 Malam semalam menyaksikan perlawanan peringkat separuh akhir(pertama) Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di antara Kedah menentang Kelantan. Malam semalam seolah-olah menjanjikan pertemuan yang menarik di antara kedua-dua pasukan. Para penyokong setia Hijau Kuning dan penyokong setia The Red Warriors berpusu-pusu membanjiri stadium yang bisa memuatkan hampir 30 ribu orang.

Perlawanan semalam yang sepatutnya menjanjikan permainan cantik akhirnya bertukar menjadi hambar. Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol akibat ketiadaan rentak dan kelemahan strategi. Kedah meskipun bermain di tempat sendiri gagal memanfaatkan peluang untuk menang. Kelantan yang juga mengalami masalah penyudah yang tumpul berasa lega dengan membawa keputusan seri ke tempat sendiri nanti.

Penyerang Kedah, Khyril Muhymeen kelihatan diasak hebat dan tidak punya banyak ruang dalam mencipta peluang gol. Penyerang tunggal Kelantan pada malam semalam, Akmal Rizal juga gagal membolosi pertahanan Kedah yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan. Pemain-pemain tengah Kelantan dilihat lebih banyak menggerakkan jentera mereka jika dibandingkan dengan para pemain tengah Kedah yang tidak banyak melakukan gerakan berbahaya ke arah pintu gol Kelantan.




Kedua-dua pasukan dilihat gagal menggunakan peluang yang terhidang bagi menjaringkan gol. MHZ yakin para penyokong sama ada Kedah mahupun Kelantan pasti pulang sedikit hampa kerana kecewa dengan persembahan hambar pasukan masing-masing.
Kedah dilihat bakal berdepan tugas sukar bagi memperoleh kemenangan di tempat lawan. Kelantan yang gagah di kubu sendiri pastinya akan menggunakan sebaiknya peluang bermain di Kota Bharu nanti. Semuanya bakal diketahui kelak selepas perlawanan separuh akhir(kedua) di Kota Bharu.

 MHZ, Melaporkan Ulasan Sukan Buat Anda..

Tiada ulasan: