14 September 2010

Cinta Kilat Siri 1



Mohd Hakimi bin Zulkifly Mempersembahkan Cinta Kilat

“Saya cintakan awak” Kata Reza dengan senyumannya yang bisa meragut ribuan hati wanita. Kata-kata itu sudah ratusan kali diungkapkan olehnya. Kalau nak dibilang berapa sudah wanita yang diungkapkan kata-kata itu, aku rasakan hendak dikira dengan jari jemari sahaya sudah pasti tidak mencukupi. Hanya dengan kata-kata sakti itu, si gadis sudah mula tertambat hati. Mana taknya, si Reza ni bukan calang-calang orangnya. Jikalau di kampus, sebut sahaja namanya, pasti ramai yang kenal. Namun jangan sesekali salah sangka. Dia terkenal kerana reputasi dan kebolehannya dan ternyata sekali bukan kerana apa yang aku gelar sebagai ‘Cinta Kilat’.

Suasana tampak riuh rendah dengan suara pelajar-pelajar UUM ke hulu ke hilir. Jam menghampiri pukul 8 pagi. Masih ramai lagi yang bergegas ke kelas masing-masing. Ketinggalan bas barangkali. Reza baru sahaja turun dari bas. Dia tampak tenang meskipun dia tahu dia sudah terlewat. Walaupun sedar akan perkara itu, Reza tetap Reza, dia hanya tenang dalam menghadapi suasana tersebut. Mungkin kerana itulah lambakan wanita yang tertawan padanya.

Dia membuka pintu dewan kuliah dengan berhati-hati. Hatinya lega melihat kelibat pensyarah yang masih belum tiba. Matanya meliar ke sini sana. Mencari mana-mana tempat duduk yang masih kosong. Dalam masa yang sama, dia dengan tiba-tiba terhenti pandangannya pada suatu objek. Memang tidak syak lagi, objek itu ialah seorang gadis. Reza seperti biasa, jatuh cinta pada pandangan pertama. “Fulamak, comelnya budak ni. Aku kena mintak nombor telefon ni” Hati Reza mulai berkata-kata. Dia merasakan bahawa gadis itu bakal mengisi kekosongan hatinya.

Reza sudah lupa pada sejarah yang lalu. Rasanya ini bukan pertama kali Reza beranggapan begitu. Dah berapa ramai gadis yang dirasakan bakal menghiasi hidupnya. Malangnya, belum seorang pun yang mencecah setahun. Setahun? Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang apa sebenarnya maksud yang tersirat di balik kata setahun itu. Cinta pertama Reza adalah yang paling lama kekal yakni setahun lamanya. Yang melambak lagi setelah yang pertama itu hanyalah bertahan sebulan sahaja setiap seorang. Dah seumpama dirancang pun ada juga namun inilah dia diri seorang jejaka bernama Reza. Dia begitu mudah terpikat dan juga begitu mudah melupakan. Reza ni nak dikategorikan sebagai Playboy macam tak kena sikit. Dia bukannya nak mempermainkan hati para wanita. Dia memang berniat mahukan hubungan yang kekal abadi. Apa yang terjadi seolah-olah mengatakan yang sebaliknya bukan namun memang benar dia mahukan perhubungan yang berkekalan. Yang menjadi masalahnya, dia sendiri tidak pasti akan apa yang dia mahukan. Dan menambah lagi perencah kepada resepi yang bermasalah ini ialah dia tidak pasti akan hatinya sama ada benar-benar cinta atau tidak kepada si gadis setelah pada mulanya suka bagai nak rak.


Tiada ulasan: