26 Januari 2013

Program Bakti Siswa Sarawak

PROGRAM BAKTI SISWA SARAWAK





21 JANUARI 2013
Sejak dari pukul 3 pagi lagi, aku dan juga Faizal telah tiba di LCCT bagi menempuh perjalanan ke Sarawak. Tujuan tiba awal ke terminal adalah bagi memantau kehadiran ahli-ahli rombongan yang lain supaya dapat melancarkan keseluruhan proses. Sebaik sahaja selesai kesemua urusan, lebih kurang jam 7 pagi, kami bergegas ke platform bagi menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Kami tiba di Bumi Kenyalang lebih kurang jam 9.10 minit pagi. Kedatangan kami disambut baik oleh rakan-rakan daripada PRIMU (Persatuan Rakan Intelek Mahasiswa UNIMAS). Kami kemudiannya dibawa ke Kampung Opar dengan menaiki bas Unimas bagi tujuan program. 

Penduduk-penduduk kampung sudah pun bersedia menunggu kami di dewan orang ramai Kampung Opar sebaik sahaja kami tiba. Mereka sudah mula menyiapkan makanan tengahari dengan menyediakan menu istimewa yakni ayam pansuh. 

Sebaik sahaja tetamu jemputan, Prof Madya Dr Rusli Ahmad, Dekan Pusat Pemajuan Pelajar UNIMAS tiba maka majlis penyerahan anak angkat terus sahaja dimulakan. Sebanyak 13 keluarga keseluruhannya yang menawarkan diri mereka bagi menerima anak-anak angkat. Aku ditempatkan sekali serumah bersama Faizal, Zulhelmi, Fiqrun dan juga Joe/Abe. Kami cukup bertuah kerana mendapat ibu serta ayah angkat yang ramah-tamah serta cukup baik dalam melayan kami yang berkunjung sebagai tetamu di rumah mereka.

Pada petang itu, kami berkesempatan untuk melawat ke Baruk Kampung Opar yang berusia hampir 160 tahun. Sungguh mengujakan apabila melihat seni bina serta struktur Baruk berkenaan yang telah mencecah usia ratusan tahun. Kami (Peserta Program) turut diberikan penerangan berkenaan dengan Baruk berkenaan daripada penduduk kampung. 

Pada malam itu, satu forum berkenaan undang-undang dan masyarakat telah dianjurkan dan dianggotai sendiri oleh aku, Faizal dan Athina di mana saudari Aton telah bertindak sebagai moderator.

22 JANUARI 2013     
Sepanjang pagi, kami banyak menghabiskan masa dengan aktiviti bersama ahli PRIMU. Aktiviti yang melibatkan permainan serta Ice Breaking telah diadakan bagi mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan para peserta. 

Pada petang berkenaan kami sempat menggunakan masa yang ada bagi menjalankan aktiviti gotong royong di Surau, Tadika dan juga di Rumah Gawai. Ini bagi meringankan beban orang kampung serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan Mahasiswa/i.

Malam itu diserikan pula dengan aktiviti kebudayaan di mana Mahasiswa/i daripada UUM serta UNIMAS dan juga Penduduk Kampung Opar mempersembahkan persembahan masing-masing. Para penduduk kampung dilihat terhibur dengan persembahan-persembahan yang telah disajikan. 

23 JANUARI 2013
Waktu pagi diisi dengan Majlis Penyerahan Semula Anak Angkat di mana Ketua Kampung Opar telah hadir bagi menyempurnakan majlis. Setelah berakhir majlis, kami kemudiannya bertolak ke UNIMAS dan tiba di sana kira-kira jam 2.00 petang. 

Petang berkenaan diisi dengan aktiviti berkayak di Tasik UNIMAS. Meskipun sedikit hujan namun itu tidak melunturkan semangat para peserta bagi melakukan aktiviti berkayak. 

Pada malam itu. telah diadakan Majlis Perasmian Penutup BAKSIS Sarawak yang turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Prof Madya Dr. Rusli Ahmad dan En. Mohd Hafiz Badarulzaman. Sedikit jamuan telah diadakan dan satu slot ceramah pendek telah disampaikan oleh En. Mohd Hafiz berkenaan Mahasiswa dan AUKU.

24 JANUARI 2013
Setelah segala barang dikemas, kami bergerak meninggalkan UNIMAS dan menuju ke Kampung Budaya yang menempatkan pelbagai jenis rumah etnik di Sarawak. Antaranya Rumah Bidayuh, Rumah Iban, Rumah Melanau, Rumah Orang Ulu, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Kami turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang cukup hebat serta mengagumkan.


Pada waktu petang, kami berkesempatan berkunjung ke Bandaraya Kuching di mana kami berpeluang membeli belah. Kek Lapis, Cenderamata, Ikan terubuk masin dan bermacam lagi barangan yang dibeli untuk dibawa pulang. 

Dek kerana penerbangan kami adalah pada malam itu, kami tidak dapat merayau jauh di Kuching. Kami terpaksa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching lebih kurang-3-4 jam lebih awal daripada waktu penerbangan bagi mengelakkan sebarang masalah bakal timbul. 

Akhirnya, pada jam 12.10 minit malam, 25 JANUARI 2013, kami tiba di LCCT. Semuanya dalam kepenatan namun ternyata puas dengan segala pengalaman serta memori yang telah tercipta. Mungkin kami akan datang lagi ke Kuching suatu saat nanti.

Tiada ulasan: