WANITA PERLUKAN BIMBINGAN, LELAKI PERLUKAN SOKONGAN
Emang sudah diciptakan Allah akan lelaki dan wanita untuk saling hidup bersama serta saling lengkap-melengkapi. Tiada insan yang bersifat sempurna apatah lagi terlepas daripada melakukan sebarang dosa. Hubungan sesama lelaki dan wanita hakikatnya melibatkan perkongsian yang membawa ke arah kebahagiaan. Bukan sempurna yang harus dicari, cukuplah sekadar yang membahagiakan di hati.
Wanita diciptakan Allah SWt untuk dijadikan peneman kepada kaum lelaki. Kerana itulah wanita digelar sebagai hiasan dunia dan sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Kaum lelaki seharusnya berperanan membimbing para wanita ke arah kebaikan di samping para wanita memberikan sokongan ke atas usaha murni yang cuba dilakukan oleh kaum lelaki. Para wanita juga dalam masa yang sama tidak harus diketepikan akan hak mereka dalam menyuarakan sebarang pandangan kepada kaum lelaki kerana meskipun lelaki merupakan insan yang bertanggungjawab untuk membimbing namun itu bukan jaminan yang dia tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan.
Yang paling utama, kaum lelaki seharusnya melengkapkan diri mereka dengan ilmu duniawi serta ukhrawi yang cukup sekiranya ingin mengemudi bahtera perkahwinan. Adalah menjadi sesuatu yang malang kepada mana-mana wanita sekiranya mendapat seorang suami yang tidak dapat membimbingnya dalam menghayati ilmu dunia juga ilmu agama. Kaum lelaki juga tidak sepatutnya mencari wanita yang solehah dan kemudiannya mengharapkan si wanita itu pula yang membawanya ke jalan yang Benar kerana tanggungjawab membimbing itu terletak di bahu lelaki. Mana mungkin wanita yang bersifat lemah mampu mendidik lelaki yang adakalanya ego lagi angkuh dalam menerima teguran.
Maka kepada kaum lelaki, berusahalah untuk menjadi lelaki yang mampu menjadi suami serta ayah yang baik sementara para wanita pula sebaiknya tidak putus-putus memberikan sokongan supaya sebuah keluarga yang sakinah dapat dibentuk. Sebuah keluarga yang dipimpin seorang ayah yang berilmu serta seorang ibu yang prihatin pasti sahaja menghasilkan anak-anak yang berakhlak lagi bertanggungjawab.
"Ingatlah senantiasa bahawa yang membimbing itu lelaki dan yang menyokong itu wanita, barulah kemudiannya segala-galanya lancar lagi bahagia."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan